am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang jemaah umrah Malaysia menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat tanggal hari Nisfu Syaaban, sebaik saja selesai melakukan tawaf wada dalam Masjidil Haram di Tanah Suci Makkah.
Kejadian itu dikongsikan pendakwah bebas, Abdullah Khairi Harun, yang menyaksikan detik pemergian Allahyarham Marina Abdul Wahab, dengan menyifatkannya sebagai pengakhiran hayat yang hebat.
“Baru lepas tawaf wada, menangis dalam doa, masih dalam wuduk, berjalan dengan ceria… tiba tiba jatuh dalam masjid dan meninggal!
“Hebat Puan Marina Abdul Wahab… isteri sahabatku, Jamaluddin!” tulisnya dalam satu hantaran menerusi Facebook, hari ini.
Abdullah Khairi yang membawa rombongan jemaah umrah melalui syarikatnya, UAK Travel & Tours Sdn Bhd, berkata lebih menyentuh hati ialah Allahyarham meninggal dunia pada tanggal Nisfu Syaaban di pangkuan suaminya.
“Jenazahnya sudah dikebumikan di makbara syuhada alharam.
“Meninggal dunia selepas tawaf, dalam wuduk pada Jumaat, Nisfu Syaban, di pangkuan suami dalam Masjidil Haram.
“Disolatkan oleh ribuan manusia di Masjidil Haram selepas solat Maghrib,” katanya lagi.
Abdullah Khairi turut memaklumkan bahawa menurut suami Marina, Allahyarham dikenali dengan personalitinya yang suka menjamu makan orang sekeliling.
“Kami meneruskan ziarah ke Madinah… walaupun kurang seorang sahabiah.
“Suaminya tetap tabah! Meneruskan sisa hari yang ada… datang berdua, beg berempat. Balik seorang, beg berempat… hanya Allah yang tahu,” katanya.
Hantaran Abdullah Khairi itu mendapat perhatian ramai warganet dengan meraih lebih 3,700 tanda suka, lebih 300 komen dan 200 perkongsian.
© New Straits Times Press (M) Bhd