DI PINGGIR bandar Kobe, Jepun yang terkenal dengan daging wagyu berkualiti tinggi, terletaknya sebuah pusat pemprosesan daging premium, Sanda Meat Centre.
Di sinilah kisah inspirasi Syed Najib Syed Mustaffa, anak Malaysia yang kini memegang tanggungjawab besar sebagai penyelia halal dan penyembelih di pusat penyembelihan berprestij Jepun ini bermula.
Syed Najib, 42, berasal dari Beseri, Perlis dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Berbekalkan latar belakang akademik dan pengalaman luas, beliau bukan sahaja berperanan sebagai penyembelih, malah bertindak sebagai pemeriksa halal (halal checker) yang memastikan keseluruhan proses penyembelihan serta pemprosesan mematuhi prinsip syariah secara ketat.
“Saya perlu memastikan bukan hanya proses sembelihan menepati hukum, malah keseluruhan rantaian bermula dari peralatan, kebersihan, sehinggalah ke pemprosesan akhir, memenuhi piawaian halal yang ketat,” jelas Syed Najib ketika ditemui semasa lawatan delegasi Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre ke fasiliti tersebut baru-baru ini.
Syed Najib mula bertugas di Jepun sejak Januari 2025 selepas mengumpul pengalaman selama 15 tahun sebagai penyembelih halal di tanah air dan juga di Korea Selatan.
SYED NAJIB
“Saya juga berpengalaman sebagai penyembelih dan halal checker untuk daging halal Hanwoo di Korea Selatan.
“Apa yang menarik, saya berpeluang merasai pengalaman memastikan salah satu rumah penyembelihan di sana mendapat pengiktirafan halal daripada Korea Muslim Federation,” katanya.
Beliau yang mendapat tauliah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan sebagai penyembelih sejak 12 tahun lalu itu kini menetap bersendirian di Kobe sementara menunggu visa untuk membawa isterinya, Normala Othman dan tiga orang anak.
Beliau mengakui kehidupan di Jepun menuntut kekuatan mental yang tinggi.
“Jika ingin bekerja di sini, jiwa mesti kental. Kita jauh dari keluarga dan budaya berbeza. Tapi dengan persiapan mental dan niat yang betul, semuanya jadi lebih mudah,” ujarnya jujur.
Keistimewaan lembu wagyu Kobe
Kobe yang sinonim dengan industri daging wagyu premium, menyaksikan keunikan sistem penternakan yang sangat teliti.
Menurut Syed Najib, setiap lembu Kobe mempunyai rekod lengkap bermula daripada baka, lokasi penternakan hingga pemprosesan, sebelum diiktiraf sebagai ‘Kobe Beef’ halal.
“Sanda adalah kawasan tenang dan sedikit terpencil, tapi sangat sesuai untuk pengeluaran daging berkualiti. Ia tempat yang tenang tetapi penuh ketelitian,” katanya sambil menunjukkan rekod digital seekor lembu yang telah disahkan halal.
Selain Syed Najib, terdapat seorang lagi pegawai halal yang juga penyembelih utama dari Malaysia, Chairill Anuar Abdul Ghani berkhidmat di pusat itu.

DAGING keluaran Sanda Meat Centre disahkan halal oleh pihak berkuasa Jepun. Foto SANDA MEAT CENTRE
Malah, operasi penyembelihan turut dibantu oleh 10 kakitangan Muslim lain dari Indonesia dan Bangladesh, membentuk sebuah pasukan antarabangsa yang komited menjaga integriti halal di Jepun.
Beliau turut menegaskan pentingnya memiliki kelayakan syariah atau pensijilan profesional halal jika ingin membina kerjaya dalam industri halal antarabangsa.
“Jawatan seperti halal supervisor memerlukan asas syariah yang kukuh. Pensijilan seperti Eksekutif Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sangat membantu,” katanya yang melihat kerjayanya kini bukan sekadar pekerjaan, tetapi amanah agama.
Teknologi moden di Jepun beri kelebihan
“Peralatan di sini lebih canggih. Kita perlu cepat menyesuaikan diri. Namun prinsip asas halal tetap sama iaitu suci, bersih dan menepati syariah,” katanya.
Daging wagyu halal Kobe yang diproses di Sanda Meat Centre mendapat permintaan sangat tinggi daripada daripada negara-negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Brunei, Indonesia dan juga Malaysia.
Kerjasama Strategik UNITI – Sanda Meat Centre
Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa yang mengetuai delegasi ke Jepun baru-baru ini berkata, Syed Najib merupakan bukti hidup bahawa graduan Malaysia mampu menyerlah di pentas antarabangsa jika dibekalkan ilmu dan nilai keusahawanan halal.
“Beliau bukan sekadar pekerja di Jepun, tetapi seorang duta kecil halal yang membawa nama Malaysia dengan penuh tanggungjawab dan maruah,” kata Amir Hamzah.
Tambah beliau, kerjasama strategik yang terjalin antara Kolej UNITI dan Sanda Meat Centre membuka laluan baharu untuk pelajar Diploma Pengurusan Industri Halal, Diploma Pengurusan Perkilangan Halal dan Diploma Pengajian Islam menjalani latihan industri secara langsung di Jepun.
“Kami mahu lahirkan profesional halal yang bukan sahaja mahir teori, tetapi bersedia turun ke lapangan. Ini pengalaman yang sukar dicari di tempat lain,” katanya.
Menurut Amir Hamzah, pendidikan halal masa kini perlu bersifat global, seiring dengan keperluan industri dan cita rasa pengguna Muslim antarabangsa.

SYED NAJIB (dua dari kanan) bersama delegasi Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre ketika lawatan ke Sanda Meat Centre, Kobe, Jepun baru-baru ini. Foto UNITI HALAL CENTRE
“Pelajar perlu dibentuk untuk berani keluar dari zon selesa dan memandang halal sebagai tanggungjawab global. Itulah semangat yang kita mahu tanam,” katanya lagi.
Selain Amir Hamzah, turut serta dalam delegasi itu ialah Pengarah UNITI Halal Centre, Muhamad Elyas Harun dan Pengarah Komunikasi Korporat, Ahmad Syakir Sazili.
Kisah Syed Najib adalah refleksi keazaman dan keikhlasan seorang anak Malaysia yang menjadikan halal sebagai prinsip hidup, bukan sekadar kerjaya. Di bumi asing, beliau berdiri sebagai penjaga maruah halal negara yang penuh dedikasi, kecekalan dan cinta terhadap agama.





