Menjadi wanita qanitah

Menjadi wanita qanitah


Ustaz Nushi Mahfodz

– Advertisement –

BANGI: “Dalam Al-Quran, dirakam kisah-kisah wanita inspirasi. Antaranya, Maryam binti Imran, Ratu Saba’ dan kisah anak-anak perempuan Nabi Syu’aib. Wanita-wanita ini terasa seperti terlalu jauh dari realiti kita yang biasa-biasa,” kata, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz.

– Advertisement –

Menurutnya, kisah perjuangan wanita tersebut sangat relevan dengan kaum wanita di akhir zaman.

“Kisah mereka seolah-olah memberi inspirasi kepada wanita moden, walaupun sibuk dengan urusan kerja, dalam bidang apa sahaja, kita mampu taat menjaga prinsip agama, maruah diri dan keluarga.

“Setiap wanita boleh berusaha untuk menjadi wanita qanitah iaitu seorang yang taat kepada Allah SWT walau dilambung ujian dan mehnah,” katanya dalam coretan di Facebooknya.

Beliau turut berkata, terdapat beberapa ciri ketaatan untuk melahirkan wanita qanitah yang kuat, bijak bertindak, dan teguh keimanan.

Pertama, wanita qanitah memiliki jiwa kental kerana ketaatan kepada Allah SWT.

“Seseorang itu yakin bahawa segala ujian datang dengan izin Allah. Segala perkara ada hikmahnya. Dia taat preskripsi yang diturunkan Tuhannya iaitu sabar dan solat sebagai ubat mujarab menempuh getir kehidupan.

“Kedua, wanita qanitah, seorang yang bijaksana dalam membuat tindakan. Ketaatan juga membimbing wanita qanitah memilih tindakan yang benar kerana didikan wahyu takkan pernah tersalah.

“Perintah Allah sentiasa menjadi panduan dalam setiap langkahnya. Misalnya, ketika dia menjauhi perkara yang dilarang seperti pergaulan bebas dengan bukan muhrim atau boros dalam perbelanjaan, dia melindungi dirinya daripada fitnah dan keburukan,” ujarnya.

Tambah Nushi lagi, kebijaksanaan ini adalah hasil daripada kepekaan kepada hukum Allah dan panduan agama yang menjamin keharmonian diri, keluarga dan masyarakat.

Seterusnya, kata beliau ketaatan yang konsisten menjadikan iman seseorang semakin teguh, kerana semakin banyak ketaatan dilakukan, semakin dekat dengan Allah SWT.

Katanya lagi, keimanan yang kukuh ini berfungsi sebagai kompas hidup, membantu wanita qanitah untuk terus berada di jalan yang diredhai Allah.

“Ketaatan kepada Allah memberikannya keyakinan bahawa walau apa pun yang berlaku, Allah sentiasa bersamanya.

“Inilah punca keteguhan sebenar iaitu ‘spiritual resilience’ yang menjadikannya mampu berdiri teguh walaupun menghadapi ujian berat.

“Semoga kita semua terus berusaha untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada-Nya,” kongsinya lagi. – HARAKAHDAILY  27/10/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top