Menjemput Trump, menguji hikmah umat

Menjemput Trump, menguji hikmah umat

Menjemput Trump, menguji hikmah umat


APABILA isu kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini dibangkitkan, ramai yang tersentak emosi. 

Ada yang membantah keras, ada yang menyokong berhati-hati. Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berpendapat ia wajar sementara suara rakyat yang berang melihatnya sebagai pengkhianatan terhadap Palestin.

Inilah wajah umat yang mana separuh berfikir dengan hati, separuh lagi menimbang dengan kepala. Namun dalam politik antarabangsa, emosi tidak boleh menggantikan strategi.

Diplomasi, hikmah dan sunnah Nabi

Hakikatnya, Islam tidak menolak diplomasi. Malah, ia merupakan sebahagian daripada hikmah dakwah. Firman ALLAH SWT: “Serulah ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah an-Nahl, 16:125)

Rasulullah SAW bukan hanya panglima perang, tetapi juga diplomat unggul. Perjanjian Hudaibiyah yang pada awalnya kelihatan berat sebelah, akhirnya membuka pintu kemenangan Islam.

Begitu juga hubungan Baginda dengan Rom dan Parsi yang bukan menyerah, tetapi menyusun langkah akal untuk menyebar pengaruh Islam.

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menjemput Presiden Amerika bukan tanda tunduk tetapi tanda umat berfikir dengan kepala dingin bukan dengan dada panas.

ASEAN: Rantau aman dalam gelanggang api dunia

ASEAN sejak 1971 mengamalkan dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Prinsip ini menjadikan rantau Asia Tenggara kawasan diplomasi yang terbuka iaitu tidak berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, tidak boleh berdiri dengan sentimen semata-mata. Kita bukan hanya bercakap atas nama bangsa atau agama, tetapi mewakili 680 juta penduduk dan ekonomi ke-5 terbesar dunia.

Hubungan ASEAN dengan Amerika bukan perkara baharu. Ia membabitkan perdagangan, pelaburan, keselamatan maritim dan teknologi tinggi.

Amerika merupakan antara pengimport utama minyak sawit, sarung tangan perubatan dan komponen elektronik Malaysia. Dalam dunia global yang saling bergantung, memutus hubungan bukan keberanian, bahkan kebodohan ekonomi.

Marah perlu, tapi jangan buta

Memang benar, Amerika Syarikat penyokong tegar rejim Zionis. Begitu juga dengan dasar luar mereka  yang sering menzalimi Palestin dan menggoncang dunia Islam.

MALAYSIA selaku tuan rumah ASEAN tahun ini perlu menunjukkan kebolehan dalam kepimpinan di peringkat antarabangsa.

MALAYSIA selaku tuan rumah ASEAN tahun ini perlu menunjukkan kebolehan dalam kepimpinan di peringkat antarabangsa.

Tetapi Islam mengajar kita melalui firman-NYA: “Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih hampir kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah, 5:8)

Marah tanda iman, tetapi hikmah tanda matang

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA dalam kuliahnya pernah menjelaskan Malaysia sebagai negara, boleh menjemput tetapi sebagai rakyat, kita boleh membantah.

Itu dua ruang yang berbeza iaitu yang satu bergerak dengan realiti diplomasi, yang satu menegakkan maruah moral.

Perjuangan membela Palestin bukan dengan menjerit semata, tetapi dengan strategi panjang dengan melihat perkiraan keadaan tentang aspek ekonomi, media dan politik.

Menolak semua saluran diplomatik kerana emosi hanya menjadikan kita berani tanpa arah dan lantang tanpa hasil.

Balancing Act: Hikmah negara kecil

Negara kecil seperti Malaysia perlu menari di antara gajah, bukan memilih untuk dipijak salah satu daripadanya. Inilah seni diplomasi yang disebut oleh sarjana geopolitik, Kishore Mahbubani sebagai “balancing act”.

ASEAN bersahabat dengan China, tetapi tidak menolak Amerika. Kita berdagang dengan kedua-duanya, malah ketika perang dagang antara AS dan China, sebenarnya ASEAN memperoleh banyak manfaat daripada aspek ekonomi. 

Sama juga dalam bidang pertahanan yang mana latihan bersama tentera ASEAN dan Amerika jauh lebih aktif berbanding dengan China. Jadi, hubungan ini tidak menghapuskan prinsip yang kita pegangi selama ini. 

Dalam isu Palestin, Malaysia tetap lantang bersama Indonesia. Tetapi ASEAN juga menghormati prinsip tidak campur tangan (non-intervention) sesama anggotanya. 

Itulah realiti diplomasi moden yang bukan tunduk tetapi menyelamatkan diri sambil melangkah bijak.

Jihad akal, bukan emosi

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang kuat bukan yang menang dalam perkelahian, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Perjuangan menentang Zionisme bukan jihad spontan tetapi jihad strategik. Ia memerlukan kekuatan ekonomi, ilmu dan diplomasi.

HUBUNGAN antara negara yang saling bergantung perlu dilihat sebelum membuat keputusan yang boleh merugikan. Foto Canva

HUBUNGAN antara negara yang saling bergantung perlu dilihat sebelum membuat keputusan yang boleh merugikan. Foto Canva

Kita boleh membenci Trump, tetapi kita juga harus memanfaatkan ruang untuk mempengaruhi dasar melalui pentas seperti ASEAN.

Jihad hari ini bukan hanya di medan tempur tetapi di meja rundingan malah di dewan ekonomi dan di gelanggang ilmu serta media.

Hikmah separuh daripada kemenangan

Naratif menjemput Presiden Amerika ke Sidang Kemuncak ASEAN bukan tanda tunduk tetapi ujian kebijaksanaan kita. Kita boleh menolak dasar zalimnya tetapi masih menjemput untuk berbicara. 

Kita boleh berbeza pandangan, tetapi tidak perlu berpecah kerana emosi. Seperti kata Imam al-Ghazali: “Agama dan kerajaan merupakan saudara kembar; agama asasnya, kerajaan penjaganya. Tidak ada agama tanpa kerajaan dan tidak ada kerajaan tanpa agama.”

Maka, menjemput bukan bermakna kita menjual prinsip tetapi membuka gelanggang hikmah. Kerana perjuangan Islam bukan sekadar menentang musuh tetapi mendidik dunia tentang maruah, akal dan damai.

***Penulis, PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman

Ringkasan AI

  • *Isu kehadiran Presiden Amerika, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur telah menimbulkan reaksi berbeza *Islam tidak menolak diplomasi sebagai sebahagian daripada strategi dakwah *Perjuangan membela Palestin memerlukan strategi yang merangkumi ekonomi, media, dan politik tanpa menolak semua saluran diplomatik *ASEAN mengamalkan dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali yang menjadikan Asia Tenggara kawasan diplomasi yang terbuka *Menjemput Presiden Amerika ke Sidang Kemuncak ASEAN dianggap sebagai langkah matang yang tidak bermakna menunduk tetapi sebahagian dari strategi bijak



Source link

OR

Scroll to Top