KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli terus menyemarakkan Kempen ‘Hayya Ala Solah’ yang dipimpin oleh Kerajaan Negeri Perlis melalui program Jaulah Subuh yang diadakan setiap hujung minggu.
Beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil.
Juga ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor yang turut menyertai di Masjid Ar-Rahman, Kampung Belukar, Beseri, di sini pada Sabtu.
Selepas menunaikan solat Subuh berjemaah, Shukri meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat di mana dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjaga solat serta memupuk kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut bersarapan bersama para jemaah di sebuah warung roti canai berdekatan masjid dalam suasana santai dan penuh mesra.
Selain itu, beliau turut mengambil peluang menyantuni warga emas di sekitar Kampung Belukar dengan menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan.
Mohd Shukri meneruskan penyertaannya dalam program Jaulah Subuh di Masjid Al-Imarah, Abi Batas Paip, Kangar pada Ahad keesokannya.
Program ini diteruskan dengan tujuan untuk mendidik masyarakat terhadap kepentingan solat Subuh berjemaah serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.
Kempen ‘Hayya Ala Solah’ dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada 3 November 2023, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Perlis.
Iaitu untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat Muslim dalam menunaikan kewajipan solat, khususnya solat berjemaah. – HARAKAHDAILY 22/10/2024
