'Menua bermaruah jadi angan di siang hari'

'Menua bermaruah jadi angan di siang hari'


Kita sering bercakap soal persaraan sebagai ganjaran yang menghamparkan ruang rehat selepas bertahun-tahun berkhidmat.

Hakikatnya di Malaysia ketika ini, persaraan bukan lagi suatu jaminan kerana bagi kebanyakan

individu, ia keistimewaan yang tidak mungkin digapai. Di kala gelanggang perdebatan kembali hangat mengenai cadangan meningkatkan usia persaraan ke 65 tahun, andaiannya kedengaran seakan logik.

Rakyat Malaysia boleh berkhidmat lebih lama seiring peningkatan jangka hayat semasa.

Tetapi andaian bukan bukti dan di PERKESO, hakikat sebenar memberi gambaran penuh duka.

Dalam tempoh sedekad lalu, tuntutan keilatan melonjak lebih 160 peratus. Pada 2023, lebih 52 dalam setiap 10,000 pekerja aktif mengemukakan permohonan keilatan.

Mereka ini bukan warga tua yang menginjak fasa persaraan kerana purata pemohon hanya berusia 45 tahun.

Ini bukan berkait dengan kes terpencil, sebaliknya dikesan sebagai pola semasa yang semakin meruncing. Lebih menggusarkan ialah 85 peratus kes keilatan yang dibayar pada Disember 2024 berpunca daripada penyakit tidak berjangkit (NCD) – diabetes, penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, angin ahmar.

Semua ini bukan kes kecederaan, tetapi keadaan yang tercetus angkara ketegangan fizikal bertahun lamanya, selain kepincangan langkah pencegahan dan intervensi awal.

Kelompok pekerja ini mengerah kudrat untuk bertahan dengan mengetepikan semua petanda amaran awal. Disangkakan alah bisa tegal biasa, akhirnya tubuh mereka rebah jauh sebelum menjengah usia persaraan.

Memang semudah petik jari jika kita cuba mewajarkan rakyat Malaysia untuk bekerja lebih lama.

Soalnya, pernah kita tanya,mampukah mereka? Melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun tanpa menongkat mereka yang rebah ibarat membina jambatan untuk segelintir yang beruntung manakala selebihnya perlu berenang ke seberang.

Malah, untuk yang berjaya menginjak usia persaraan, jalan penuh berliku menanti mereka. Hal ini kerana Malaysia ialah antara 13 negara di dunia yang masih bergantung kepada model persaraan caruman tertakrif (defined contribution).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ini bermaksud, simpanan akhir bergantung kepada jumlah caruman dan jika kerjaya berakhir awal, maka romponglah jaringan perlindungan anda.

Realiti di sebalik perangkaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula merudum apabila hampir 75 peratus anggota berumur 54 tahun mempunyai kurang RM250,000 dalam akaun mereka.

Jika dicongak, wang persaraan mereka hanya sekitar RM1,050 sebulan, iaitu kadar di bawah garis kemiskinan nasional yang diharapkan mampu bertahan dalam tempoh 20 tahun ke hadapan.

Bekalan fiskal ini jauh daripada cukup, malah bagai hidup tercungap nafas dengan petanda, sudah mula terzahir menerusi perangkaan semasa. Pengeluaran KWSP disebabkan kesihatan melambung sebanyak 41 peratus sejak 2015.

Pada 2023 sahaja, lebih RM93 bilion dikeluarkan berikutan hilang upaya. Situasi ini memberi gambaran jelas, model persaraan di Malaysia kian terhimpit di kedua-dua sudut, iaitu tempias daripada peningkatan jangka hayat dan lonjakan kadar pemberhentian kerja berikutan masalah kesihatan.

Bagi merungkai situasi ini, pendekatan PERKESO melangkaui sekadar penyediaan bayaran faedah menerusi Program Saringan Kesihatan PERKESO yang menyasarkan pekerja berusia 40 tahun dan ke atas untuk ‘memburu’ punca sebelum membarah.

Program Return-To-Work (RTW) pula digerakkan bagi membantu insan mengalami ‘bencana’ kembali ke alam pekerjaan melalui rehabilitasi, penyesuaian kerjaya dan sokongan sewajarnya.

Jelas, PERKESO bukan sekadar agensi penyedia pampasan faedah, tetapi pendamping aspek pencegahan, pemulihan dan keutuhan.

Bagaimanapun, andai keseluruhan sistem masih berada di takuk lama, penyelesaian isu ini sekadar angan-angan di siang hari.

Kita memerlukan anjakan di peringkat nasional, dengan lakaran matlamat baharu persaraan yang mencerminkan kepelbagaian situasi semasa dunia pekerjaan. Ia meliputi laluan persaraan anjal, pilihan kerja untuk yang hilang upaya separa dan jaminan pendapatan minimum untuk individu terpaksa berhenti awal daripada perkhidmatan.

Berhentilah melihat persaraan hanya dari kanta usia, sama ada 60 atau 65 tahun, sebaliknya kita kena mula memperakui hakikat, kemampuan bekerja tidak dijadikan pemalar sejak azali.

Bukan semua pekerja disajikan pilihan apabila terpaksa berhenti kerana tubuh badan individu menjadi penentu, melangkaui jangka yang ditetapkan dalam dasar.

Usah merencana sistem hanya sekadar menguntungkan yang paling kuat. Kita juga perlu melindungi mereka yang berkorban jiwa dan raga, sebelum gugur dari medan kerja tanpa suara didengari, diberi talian hayat dan lazimnya menanti pembelaan tidak kunjung tiba.

Menjelang tirai pembukaan Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) pada 29 September tahun ini di Kuala Lumpur, Malaysia berada di persimpangan genting.

Forum global ini bukan sekadar pentas pertukaran dasar, tetapi wahana untuk menguji keikhlasan.

Sebagai tuan rumah, PERKESO membuka pintu kepada dunia bukan hanya bermodalkan layanan penuh tertib dan santun, tetapi dengan kerendahan hati. Ini peluang keemasan Malaysia menimba pengalaman daripada pelbagai negara yang mempunyai latar belakang setara, baik dari segi ekonomi, tekanan demografi dan aspek kebudayaan, tetapi mereka berjaya menemui formula penyelesaian inovatif tanpa mengulangi sejarah lama.

WSSF membolehkan kita mengukur sistem sedia ada, menguji dasar dan mengerah iltizam daripada kewibawaan serta pengalaman global. Malah yang lebih penting, ia pentas cerminan diri mengenai kedudukan semasa Malaysia dan hala tuju kita seterusnya. Inilah detik penentuan sama ada kita sekadar ingin mengurus masa kini atau berani merintis reformasi demi masa depan.

Namun untuk melangkah kehadapan, keadilan mesti ditegakkan buat insan yang tercicir daripada kelompangan sistem kita.

Mereka ini tidak sempat menginjak usia persaraan, namun bertahan hingga rebah tanpa akur.

Golongan inilah yang sepatutnya tidak wajar dipinggirkan sejak awal lagi.

Janganlah masa depan dibina hanya untuk memihak kepada yang kuat dan bernasib baik. Sebaliknya, gagaskan masa depan dengan mengangkat yang lelah, selain memberi jaminan kepada pekerja, waima tidak sampai ke garisan penamat, anda tidak akan pernah dilupakan.

Akhirnya, dunia ini memerlukan teman. Apa ertinya menjadi insan terakhir berdiri di hujung garisan, andai yang lain lama gugur di tengah jalan?

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top