Ibadah haji adalah antara lima rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Ia bukan sekadar satu ibadah fizikal, tetapi juga sebuah perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, ilmu dan ketabahan. Dalam konteks ini, pembimbing haji memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah ini dengan sempurna, dan diterima oleh Allah SWT. Mereka bukan sekadar pendidik atau penyampai maklumat, tetapi turut menjadi pemimpin rohani, penasihat, dan pemudah cara sepanjang perjalanan haji.
Salah satu peranan teras pembimbing haji ialah menyampaikan ilmu fardu ‘ain berkaitan ibadah haji kepada para jemaah. Ini termasuk pemahaman tentang rukun haji, perkara wajib dan sunat serta larangan-larangan ihram. Kefahaman ini penting bagi memastikan pelaksanaan ibadah adalah sah dan mengikut tatacara yang telah disyariatkan. Ramai dalam kalangan jemaah, terutamanya yang sudah berusia, tidak memiliki latar belakang pendidikan agama yang mendalam. Maka, pembimbing perlu menyampaikan ilmu dengan cara yang mudah difahami, disertai contoh dan demonstrasi. Peranan ini menjadi tonggak utama menyampaikan ilmu secara menyeluruh dan jangan menyembunyikannya. Firman Allah dalam surah al-Imran 187 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.”
Ibadah haji bukan sekadar memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan rohani, mental dan emosi. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, pembimbing perlu memastikan jemaah bersedia dari segi niat dan keikhlasan. Mereka perlu memupuk kesedaran bahawa haji adalah satu ibadah pengorbanan dan muhasabah diri, bukan sekadar perjalanan pelancongan spiritual. Ini termasuk menekankan pentingnya memaafkan sesama manusia, melangsaikan hutang, dan membuat persiapan hati untuk menghadapi cabaran di tanah suci. Ikhlas adalah tunjang kepada penerimaan ibadah oleh Allah SWT. Ini selaras dengan peringatan dalam Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196)
Dari segi mental, pembimbing bertindak memberi pendedahan awal tentang suasana di Tanah Suci, seperti kepadatan jemaah, cuaca yang ekstrem, dan kemungkinan berlaku kesesakan atau kelewatan. Semua ini membantu mengelakkan tekanan dan rasa panik dalam kalangan jemaah apabila berhadapan dengan realiti di lapangan. Dalam aspek emosi, pembimbing juga berperanan sebagai pendengar dan pemberi semangat kepada jemaah yang mungkin mengalami kerinduan kepada keluarga atau keletihan melampau.
Peranan pembimbing menjadi lebih kritikal apabila tiba di Makkah dan Madinah, khususnya semasa pelaksanaan ibadah-ibadah utama seperti wukuf di Arafah, melontar jamrah di Mina, dan tawaf di Baitullah. Mereka bukan sekadar menunjuk arah atau menyusun jadual pergerakan, tetapi turut memberi panduan langsung semasa ibadah dijalankan. Dalam kes-kes tertentu, pembimbing perlu membuat keputusan segera sekiranya berlaku situasi kecemasan, sesat atau kesilapan dalam melaksanakan rukun. Sebagai contoh, jika ada jemaah yang tidak mampu menyempurnakan melontar jamrah kerana kesihatan, pembimbing akan memberi penerangan tentang kaedah wakil melontar menurut hukum syarak. Pembimbing juga memastikan jemaah tidak tertinggal dalam mana-mana rukun atau wajib haji yang boleh menyebabkan dam atau menjejaskan kesempurnaan ibadah.
Semasa di Tanah Suci khususnya, pelbagai persoalan fiqh dan kekeliruan mungkin timbul dalam kalangan jemaah. Contohnya, persoalan berkaitan haid, sakit kronik, atau lupa melaksanakan sesuatu rukun. Pembimbing haji perlu bersedia dengan ilmu yang kukuh dan merujuk kepada fatwa semasa bagi menyelesaikan isu-isu tersebut. Dalam hal ini, pembimbing tidak boleh bergantung semata-mata kepada buku teks, tetapi perlu memahami konteks dan keadaan jemaah secara individu. Peranan ini menuntut pembimbing bersikap sabar, tidak menghukum, dan bijaksana dalam memberi nasihat.
Ibadah haji adalah peluang terbaik untuk mendidik umat Islam tentang akhlak mulia dan semangat persaudaraan sejagat. Pembimbing haji perlu menjadi contoh dalam tutur kata, perbuatan dan adab. Mereka mendidik jemaah agar bersabar dalam kesesakan, bertolak ansur sesama jemaah, menjaga kebersihan, dan tidak meninggikan suara atau bergaduh dalam suasana ibadah.
Dalam suasana yang penuh cabaran, pembimbing juga memainkan peranan sebagai agen perpaduan. Mereka membantu menguruskan konflik kecil antara jemaah, seperti isu tempat duduk, giliran makanan, atau perbezaan fahaman kecil yang boleh mencetuskan pertelingkahan. Semua ini jika tidak dikawal boleh merosakkan roh dan hikmah ibadah haji.
Secara keseluruhannya, pembimbing haji merupakan tonggak utama dalam memastikan kejayaan perjalanan ibadah haji. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga memainkan peranan yang sangat luas dalam aspek kerohanian, emosi, praktikal dan sosial. Tanpa bimbingan yang betul, ramai jemaah mungkin gagal memahami hikmah ibadah atau terlepas daripada melaksanakan rukun-rukun penting. Oleh itu, pemilihan dan latihan pembimbing haji perlu dilakukan dengan teliti, memastikan mereka mempunyai ilmu yang sahih, pengalaman lapangan, serta akhlak yang mulia. Hanya dengan peranan pembimbing yang berkesan, harapan untuk memperoleh haji yang mabrur dapat direalisasikan, sekali gus menyempurnakan misi ibadah tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim.
Tahniah dan Syabas kepada para pembimbing haji yang sekarang ini berada di Tanah Suci untuk menjalankan amanah melancarkan ibadah Jemaah haji Malaysia waktu ini. Anda adalah pembimbing yang berperanan penting memastikan perjalanan rohani ini akan diterima oleh Allah SWT. Kami doakan yang terbaik buat anda semua di sana. Wallahu a’ lam.
Penulis Timbalan Presiden Wadah dan Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel)
© New Straits Times Press (M) Bhd