September 8, 2024

Menyelami kisah Nabi Ibrahim AS

Menyelami kisah Nabi Ibrahim AS


– Advertisement –

HIDUP ini adalah ujian, sejak di dalam kandungan ibu tercinta, dilahirkan, melalui proses remaja dan dewasa, berkahwin dan dikurniakan zuriat, bekerja, bahagia, derita dan sebagainya.

– Advertisement –

Semua mengimpikan Syurga tetapi yang nyatanya, ramai yang gugur di pertengahan jalan, hilang arah dan tujuan, terleka dan futur kerana tertipu daya dengan indahnya dunia di mata mereka.

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.”

(Al-Anbiya:35)

Allah S.W.T banyak menceritakan ujian orang-orang terdahulu, baik tentang orang-orang yang soleh dan yang tidak soleh. Allah S.W.T sama-sama memberikan ujian kepada mereka. Mungkin satu pertiga dari al-Quran, isinya tentang cerita. Dari cerita-cerita itulah, orang dapat mengambil pengajaran. Cerita tentang Nabi Musa, Nabi Adam bersama iblis, Nabi Nuh bersama kaumnya, Nabi Hud, Nabi Soleh, cerita tentang orang yang memiliki kebun dan Allah S.W.T hancurkan kebunnya. Ada banyak cerita-cerita di dalam al-Quran.

Antara lainnya yang disebutkan, cerita tentang Nabi Ibrahim A.S. Apakah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada Nabi Ibrahim? Nabi Ibrahim juga kemudiannya diangkat sebagai al-Khalil, kekasih-Nya.

Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah S.W.T (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas agama tauhid); dan (kerana itulah) Allah S.W.T menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”

(Surah al-Nisa’: 125)

Kekasihku bermaksud, orang yang dicintai, disayangi. Beliau bukan sekadar habibullah tetapi darjatnya sudah naik setingkat lagi. Ada darjat tertinggi dalam dunia cinta. Namanya al-khullah. Yang orangnya disebut Khalil. Allah S.W.T menyebutkan Ibrahim Khalilullah sebab cinta Nabi Ibrahim A.S sudah masuk sedalam-dalamnya ke hatinya kepada Allah S.W.T.

Semua orang mengaku mencintai Allah S.W.T. Kerana mereka berharap kepada Allah S.W.T untuk mencintainya. Cinta bukan sekadar ucapan dan untaian kata-kata tetapi cinta adalah pembuktian dengan jiwa dan raga.

Lihat apa kata Allah S.W.T tentang Nabi Ibrahim A.S.

Maksudnya, “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim A.S diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah S.W.T berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia.” Nabi Ibrahim A,S pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).” Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

(Al Baqarah : 124)

Satu hal dari ayat ini tentang kecintaan Nabi Ibrahim A.S kepada anak keturunannya dan masa depan mereka. Allah S.W.T memberikan ujian, yang ujian itu berupa perintah dan larangan, disuruh itu dan dilarang ini. Nabi Ibrahim A.S diberi ujian oleh Allah S.W.T. Dari ujian itu Allah S.W.T anugerahkan Nabi Ibrahim A.S sebagai imam bagi seluruh manusia. Nabi Ibrahim A.S gembira atas anugerah ini. Nabi Ibrahim A.S ini sangat luar biasa dan tinggi kesabarannya. Dalam doa-doa beliau, beliau tidak pernah lupa mendoakan untuk keturunannya.

Contoh doa-doa Nabi Ibrahim A.S,

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim A.S diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim A.S pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah S.W.T berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia.” Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).” Allah S.W.T berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud.”

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat di antara mereka.” Allah berfirman: ” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat Kembali.”

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

(Al Baqarah : 124-129)

Jadi kalau kita kaji, bahawa doa Nabi Ibrahim A.S itu dikabulkan oleh Allah S.W.T kerana semua nabi-nabi seterusnya, dari keturunan Nabi Ibrahim A.S. Jadi kita ambil pengajaran dari sini bahawa, kita hendaklah sentiasa ingat kepada keturunan kita dan mendoakan untuk masa depan mereka yang baik, di dunia dan akhirat. Tetapi Allah S.W.T sudah berjanji kepada Nabi Ibrahim A.S bahawa orang-orang yang zalim tidak termasuk dalam anugerah ini. 

Apakah Ujian-Ujian Yang Terpaksa Dilalui Oleh Nabi Ibrahim A.S?

Semua kita sekarang sedang diuji oleh Allah S.W.T. Ujiannya berbeza tetapi ujian itu berupa perintah dan larangan. Ramai yang gagal menghadapinya.

Contoh:

Allah S.W.T perintahkan, dirikan solat tetapi betapa ramai yang tidak solat.

Allah S.W.T perintahkan, jangan makan riba tetapi berapa ramai yang berurusan dengan riba dan lain-lain perintah Allah S.W.T.

Ujian Nabi Ibrahim A.S dari semua sudut. 

Di sudut orang tua, isteri, anak dan masyarakat. Sedangkan sebahagian daripada kita tidak mahu diuji. Kita tak ada pilihan, sebab ujian itu datang daripada Allah S.W.T. Ketika diuji, sebenarnya kita telah diberitahu tentang berita-berita berupa peringatan dan amaran dari al-Quran melalui Rasulullah S.A.W sebelumnya. Jadi kita tiada hujah untuk menyatakan kita tak tahu atau tidak bersedia sehingga kita terjebak dengan dosa dan larangan Allah S.W.T.

Jadi apa yang perlu kita lakukan bila berhadapan dengan ujian?

Kita kena yakin bahawa setiap ujian itu didatangkan sesuai dengan kemampuan kita untuk menghadapinya.

Maksudnya: “Allah S.W.T tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”

(Al Baqarah : 286)

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Al-Baqarah : 155)

Jadi apa sikap kita menghadapinya? Kemana kita akan Kembali?

Kita kena Kembali kepada Allah S.W.T. Nabi Ibrahim A.S diuji dengan ayahnya sendiri sedangkan Nabi Ibrahim sangat menginginkan ayahnya dapat hidayah. Ayahnya seorang pembuat berhala. Ayah bukan barang pilihan. Jadi kita tetap menerima yang ayah tu adalah ayah walaupun siapa dia. 

Nabi Ibrahim A.S berdakwah, mengajak ayahnyanya menyembah Allah S.W.T. Ternyata ayahnya menolak dan marah. Bahkan mengancam akan merejam puteranya dan akhirnya mengusir Nabi Ibrahim. Bayangkan betapa sedihnya Nabi Ibrahim A.S diusir bapanya sendiri sedangkan beliau menyayangi ayahnya dan mengimpikan ayahnya mendapat hidayah.

Di samping itu, Nabi Ibrahim A.S diuji dengan raja Namrud yang zalim. Dan diuji dengan raja Mesir yang tertarik dengan isterinya Sarah. Bayangkan terujinya perasaan Nabi Ibrahim A.S melihat isterinya dibawa berjumpa raja yang zalim. Kecantikan Sarah yang mengagumkan membuat penguasa Mesir, Raja Firaun itu, tertarik kepadanya. Akan tetapi, kekukuhan iman Sarah, doa-doanya yang begitu tulus akhirnya membuatkannya terlepas dari godaan raja. Bahkan, Sarah diminta oleh raja Mesir untuk pulang dan diberi hadiah seorang budak bernama Hajar.

Nabi Ibrahim A.S tidak protes kepada Allah S.W.T, kenapa aku diuji sebegini sebegitu tetapi menerima dan melaluinya walaupun berat. Nabi Ibrahim A.S meneruskan kerja dakwahnya. Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim mengajak kaumnya kepada tauhid. Nabi Ibrahim A.S kemudiannya menghancurkan berhala-hala kaumnya, sendirian.

Kisah ini dirakam di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 160-170.

Mereka (para penyembah berhala yang lain) berkata, “Kami mendengar seorang pemuda yang mencela mereka (berhala-berhala). Dia dipanggil dengan nama Ibrahim.”

Mereka berkata: “(Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak, agar mereka menyaksikan.”

Mereka bertanya: “Apakah kamu, yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”

Ibrahim menjawab: “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara.”

Maka mereka telah kembali kepada kesadaran dan lalu berkata: “Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya (diri sendiri).”

kemudian kepala mereka jadi tertunduk (lalu berkata): “Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui bahwa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara.”

Ibrahim berkata: Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah S.W.T sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?”

Ah (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahami?

Mereka berkata: “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak.”

Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim.”

mereka hendak berbuat makar terhadap Ibrahim, maka Kami menjadikan mereka itu orang-orang yang paling merugi.

(Al Anbiya’ : 60-70)

Nabi Ibrahim A.S menghadapi kaumnya sendirian. Beliau sadar bahawa, beliau dituntut untuk mengorbankan nyawanya demi sebuah perjuangan menegakkan agama Allah S.W.T. Kaumnya memberikannya hukuman yang belum pernah sebelum ini, dilakukan. Mereka hendak membakar Nabi Ibrahim A.S, hanya disebabkan beliau mengajak kaumnya ke Syurga dan terselamat dari api Neraka.

Beliau ditelanjangi dan dihidupkan api yang sangat besar sehinggakan mereka sendiri tidak boleh mendekat. Mereka reka menjanik sebagai alat untuk melontarkan Nabi Ibrahim A.S ke dalam unggunan api tersebut. Allah S.W.T benar-benar menguji Nabi Ibrahim, fizikal dan perasaannya.

Allah S.W.T tidak mendatangkan hujan, angin sejuk dan salju untuk memadamkan api tersebut, Nabi Ibrahim A.S benar-benar dilemparkan ke dalam api tersebut dan di saat dilemparkan itu, malaikat Jibril datang kepadanya dan berdailog dengannya, menawarkan bantuan. Jibril pun berkata, “Wahai Ibrahim, apakah engkau perlu bantuan?” Lalu Ibrahim A.S memberi jawaban, “Kalau kepadamu, aku tidak perlukan bantuan apapun kerana kita sama-sama makhluk yang tiada berdaya berbuat sesuatu tanpa izin Allah S.W.T tetapi dengan Allah S.W.T aku perlu.”

Di saat genting tersebut, Nabi Ibrahim A.S mengucapkan doa yang tertulis dalam Al-Qur’an Surat Ali Imran ayat 173, yang berbunyi:

حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ

“Cukuplah Allah menjadi Penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”

Inilah kata-kata yang selalu kita terlupa di saat kita ditimpa musibah yang berat. Dengan kata-kata itulah, Allah S.W.T melindungi Nabi Ibrahim A.S, dan menunjukkan bukti kekuasaan-Nya. Dan atas izin Allah S.W.T, api tersebut menjadi dingin, dan Nabi Ibrahim selamat. Nabi Ibrahim lulus ujian ini. Kejadian ini tertulis dalam Al-Quran Surat Al-Anbiya ayat 69.

“Kami berfirman: ‘Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim’.”

(Al Anbiya : 69)

Berkat keimanan, ketakwaan, dan kepasrahannya, Allah S.W.T menolong Nabi Ibrahim A.S. Semoga menjadi pengajaran buat semua.

Kemudian Nabi Ibrahim A.S diuji lagi dengan harus pergi meninggalkan kaumnya dari babilonia, Irak menuju ke Syam. Berpisah dengan orang-orang yang dia cintai dan meningggalkan kampung halamannya menuju Allah S.W.T. Nabi Ibrahim terus diuji dengan isterinya yang mandul tetapi beliau sangat mencintai isterinya, Sarah.

Semasa Sarah ditahan oleh raja Mesir dan akhirnya dibebaskan, raja Mesir menghadiahkan seorang hamba bernama Hajar. Hajar inilah yang akhirnya dihadiahkan oleh Sarah kepada Nabi Ibrahim A.S untuk dikawini kerana dia mandul. Hasil perkawinan ini, Nabi Ibrahim A.S mendapat seorang anak yang bernama Ismail di ketika Nabi Ibrahim A.S berumur 86 tahun. 

Allah S.W.T menguji Nabi Ibrahim A.S lagi di saat hatinya yang sangat teruja dan gembira dengan kelahiran anak pertama yang sudah lama ditunggu-tunggu, Allah S.W.T perintahkan Nabi Ibrahim A.S menghantar anaknya yang masih bayi bersama isterinya ke tempat yang tiada sesiapa, di Mekah dengan berbekalkan sebekas kurma dan air lalu di tinggalkan.

Bagaimana perasaan Hajar di tinggalkan suami? Hajar lalu bertanya, “Ya Ibrahim, engkau tinggalkan kami bersama siapa di sini? Ditanyai oleh Hajar sebanyak tiga kali. Nabi Ibrahim A.S terus pergi tanpa menjawab. Lalu Hajar berfikir, mungkin pertanyaannya salah. Dia mengubah ayatnya.  “Adakah Allah S.W.T yang memerintahkan engkau melakukan ini?” Nabi Ibrahim A.S terus menjawab, “Ya.” Fahamlah Hajar dan berkata, “Berangkatlah engkau wahai Ibrahim, kalau itu perintah Allah S.W.T, Allah S.W.T tidak akan membiarkan kami.” 

Inilah bentuk keyakinan yang mesti sentiasa bersarang di fikiran kita ketika Allah S.W.T memberikan ujian, bermaksud ada solusi bahawa kita mampu menghadapinya dengan ketetapan yang telah ditentukan Allah S.W.T dengan dikuatkan oleh firman Allah S.W.T,

Maksudnya: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(Ash Syarh : 5-6)

Bersabarlah ketika diuji oleh Allah S.W.T. Jangan berhenti berdoa, bertawakal kepada Allah S.W.T kerana Allah S.W.T menjanjikan kepada hamba-Nya “Setiap kesusahan, pasti ada kemudahan.”

Lihat pula, apa perasaan Nabi Ibrahim A.S meninggalkan isteri dan anak kecilnya? Setelah agak jauh sekadar Hajar tidak melihatnya, Nabi Ibrahim A.S menoleh kembali melihat isteri dan anaknya, di tempat terbinanya Kaabah nanti dan berdoa seperti doa di bawah,

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

(Ibrahim : 37)

Nabi Ibrahim A.S memanggil Tuhannya, Ya Rabb dan mengadu tentang anak dan isteri yang ditinggalkannya. Sebelum memohonkan hal dunia, Nabi Ibrahim A.S memohonkan agar keturunannya mendirikan solat, untuk akhiratnya. Nabi Ibrahim A.S pasrah dan tawakkal, pasti Allah S.W.T mencukupkan keperluan mereka.

Di ketika bekalannya sudah habis, sedangkan air susunya semakin mengering kerana ketiadaan air, anaknya mula menangis. Terus Hajar mendapat kekuatan berlari-lari antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Di ketika berada di puncak bukit Marwah,  Hajar mendengar suara malaikat Jibril yang memanggilnya dan menguis air dengan tumitnya sehingga air keluar memancar daripada bumi.

Hajar mengisi bekasnya dan mengepong air tersebut, itulah bermulanya kisah air zam-zam.  Akhirnya, Hajar dapat minum air dan menyusui anaknya kembali. Kemudian malaikat berkata kepadanya: 

“Janganlah kalian takut ditinggalkan disini kerana ia adalah rumah Allah S.W.T yang akan dibangun oleh anak ini dan ayahnya dan sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan menyia-nyiakan hamba-Nya”

(HR al-Bukhari: 3365)

Nabi Ibrahim Kembali selepas 12 tahun ditinggalkannya dan ternyata bumi Mekah tersebut sudah ada kehidupan. Nabi Ismail membesar sebagai hamba yang beriman dengan kasih sayang seorang ibu yang bertaqwa lagi solehah dan penyayang walaupun tanpa suami di sisi. Hiduplah mereka tiga beranak dengan bahagia bersama seorang suami dan ayah tercinta dan dirindui. Sebab itu jangan salah memilih ibu kepada anak-anak. 

Keesokkan paginya, Nabi Ibrahim bercerita kepada anaknya. Cerita ini dirakam dalam surah As Saffat ayat 102-107

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!”

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata.”

“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.”

(As Saffat : 102-107)

Ujian yang ini berupa ujian menyembelih anaknya sendiri. Nabi Ibrahim A.S diperintahkan agar menyembelih anaknya sendiri, yang dia cintai. Allah S.W.T nak lihat, sesungguhnya adakah Nabi Ibrahim A.S lebih mencintai anaknya atau Allah S.W.T. Dan Nabi Ibrahim lulus ujian ini.

Kesimpulannya, 

Tugas kita ini adalah beriman, taat, beramal soleh dan menyampaikan agama Allah S.W.T serta bersabar ketika menghadapi ujian daripada Allah S.W.T. Di hari akhirat nanti sebelum  Allah S.W.T menghukum mereka yang bersalah terlebih dahulu Allah S.W.T akan menanyai sesiapa yang berdosa, “ Apa, sudah datang kepada kamu orang yang memberi peringatan? Mereka menjawab, “ya, sudah datang cuma kami yang mengengkarinya.” 

Jadi Allah S.W.T sangat adil. Orang-orang yang masuk neraka itu cuma mereka yang tidak hendak mendengar dan belajar, peringatan-peringatan dan amaran dari al-Quran melalui utusan-utusan-Nya. Jadi mereka tidak akan pernah mendapat hidayah Allah S.W.T.

Semoga kekuatan jiwa Nabi Ibrahim A.S membawa nama Islam kepada kita benar-benar dapat dihayati dengan penuh ketenangan dan keinsafan. Jadikan kisah Nabi Ibrahim A.S, sebagai inspirasi untuk kita terus berjuang pada jalan Allah S.W.T, jalan Islam yang lurus yang Nabi Muhammad S.A.W sendiri berjalan di atasnya.

 Wallahua’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 12/7/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top