MEREKA yang menunaikan haji dan umrah, sebenarnya mereka adalah tetamu-tetamu Allah S.W.T. Semua orang yang beragama Islam, mesti ada niat untuk menunaikannya kerana haji adalah rukun Islam ke-5 yang wajib dilaksanakan jika mampu.
Abu Hurairah R.A mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Orang-orang yang pergi haji dan umrah adalah tetamu Allah S.W.T. Jika mereka memohon kepada Allah S.W.T, maka Dia akan mengabulkannya, dan jika mereka meminta ampun kepada Allah S.W.T, maka Dia akan mengampuninya.”
(H.R. Nasa’ia, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, dan Ibnu Hibban).
MasyaAllah, inilah satu keutamaan dan kemuliaan kepada mereka yang safar, meninggalkan keluarga dan kampung halaman menuju kepada Allah S.W.T.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud, “Tetamu Allah S.W.T ada tiga: Ghazi (iaitu, pejuang yang berperang dalam Jihad kerana Allah S.W.T), Haji (iaitu, Jemaah haji yang menunaikan haji), dan Mu’tamir (yakni, jemaah umrah).”
Kita bersyukur kepada Allah S.W.T, perlaksanaan haji dan umrah sekarang dimudahkan, berbanding beribu tahun yang lalu, Ketika Nabi Ibrahim selesai meninggikan bangunan Kaabah bersama puteranya Ismail. Allah S.W.T perintahkan kepada Nabi Ibrahim untuk menjemput seluruh umat manusia agar datang menunaikan haji ke rumah Allah S.W.T (Baitullah) di Mekah. Lihat firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj ayat 27 dan 28 yang bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji (dan umrah), nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu (Baitullah) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta (kenderaan) yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah S.W.T, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Al-Hajj : 27 – 28)
Tafsir firman Allah S.W.T di atas, menurut Imam Ibnu Katsir Rahimahullah adalah Allah S.W.T memerintahkan kepada Nabi Ibrahim agar menyeru umat manusia untuk menunaikan ibadah haji ke Baitullah, rumah Allah S.W.T yang telah dibangun dengan kerja keras oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail serta menyampaikan kepada mereka semua bahawa ibadah haji itu termasuk ibadah yang diwajibkan bagi kaum Muslimin.
Dan ianya, sesuai pula dengan riwayat Ibnu ‘Abbas dari Jubair yang menerangkan bahwa ketika Nabi Ibrahim A.S selesai membangun Kaabah, Allah S.W.T memerintahkan kepadanya:
“Serulah manusia untuk mengerjakan ibadah haji.” Nabi Ibrahim kemudian menjawab: “Wahai Tuhan, apakah suaraku akan sampai kepada mereka?” Allah S.W.T berkata, “Serulah mereka, Aku akan menyampaikannya.” Maka Nabi Ibrahim naik ke atas Bukit Abu Qubais, lalu mengucapkan dengan suara yang keras, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah S.W.T benar-benar telah memerintahkan kepadamu sekalian untuk mengunjungi rumah ini (Baitullah), supaya Dia memberikan kepadamu syurga dan melindungi kamu dari azab neraka, karena itu tunaikanlah olehmu ibadah haji itu.
Jadi suara Nabi Ibrahim telah dipanjangkan kepada seluruh pelusuk dunia dan sehingga sekarang. Tiada alasan untuk mengatakan bahawa ada yang tidak mendengarinya lagi atau belum dipanggil.
Semuanya sudah dipanggil. Berapa ramai yang sudah dipanggil tetapi tidak mendengarinya sedangkan telinganya tidak tuli, kerana dia sibuk dengan sesuatu sehingga dia lalai untuk mendengar panggilan itu. Sepertinya, berapa ramai sang isteri memanggil suaminya tetapi sang suami tidak mendengarnya sedangkan telinganya tidak pekak. Berapa ramai sang ibu dan ayah memanggil anaknya, tetapi tidak mendengarkannya sedangkan telinganya dalam kondisi yang terbaik.
Kenapa terjadi begini?
Kerana mereka sedang memberikan penumpuan kepada yang lain. Tetapi Allah S.W.T sampaikan panggilan itu kepada manusia dan mereka datang kepada Allah S.W.T seperti yang diceritakan dalam ayat 27 dan 28 di atas, sebagai tetamu Allah S.W.T untuk haji dan umrah.
Bagi tetamu Allah S.W.T, sentiasalah menjaga tujuan menjadi tetamu Allah S.W.T kerana ianya bukan ibadah fizikal sahaja tetapi ibadah hati. Kalau apa yang kita lakukan, untuk memberikan manfaat kepada Allah S.W.T, jawabannya tidak tetapi untuk diri kita sendiri. Seperti yang di nyatakan dalam hadis kudsi yang bermaksud:
Dalam sebuah hadis kudsi yang panjang disebut:
“Wahai hamba-hamba-Ku; sesungguhnya kalian tidak akan dapat memudharatkan Aku dan tidak akan dapat memberi manfaat kepada-Ku….”
Jadi kenapa kita disuruh datang ke rumah-Nya, sedangkan Allah S.W.T tidak perlukan kita?
Allah S.W.T memanggil untuk memberikan sesuatu untuk manfaat kita. Jadi kita jangan merasa bahawa kita sedang berbuat baik untuk Allah S.W.T tetapi kita sedang berbuat baik untuk diri kita sendiri sebenarnya. Kita bersungguh-sungguh mengeluarkan duit yang banyak, meninggalkan kaum keluarga demi untuk mendapatkan ganjaran yang terbaik daripada Allah S.W.T.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.”
(Al-Isra’ : 7)
Perlaksaan haji bukan sepanjang tahun seperti umrah tetapi ada pada bulan-bulan tertentu dan setahun sekali. Sebab itu, kebenaran untuk terpanggil sebagai tetamu Allah S.W.T sangat panjang prosesnya di Malaysia ini. Ianya mesti melalui Tabung Haji atau dari mana-mana pakej swasta di bawah Tabung Haji.
“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (hal yang berkait antara hubungan lelaki dan perempuan), berbuat fasik (maksiat) dan berbantah-bantahan (bertengkar) di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah S.W.T mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.”
(Al Baqarah :197)
Jadi ibadah itu, bukan mengikut kemahuan kita. Perlaksanaan haji hanya di lakukan pada beberapa bulan tertentu yang bermula seawal bulan Syawal sehingga 9 Zulhijjah. Ianya pertemuan umat Islam dari seluruh dunia, bergaul, berukhuwah dan beribadah bersama.. Semuanya menjadi sama, yang miskin mahupun kaya dan yang berpangkat atau orang biasa. Untuk apa datang ke rumah Allah S.W.T? Jawapannya, kerana dipanggil dan dijemput oleh Allah S.W.T.
Siapa yang menolaknya, mereka itu ada masalah. Bagi sesiapa yang berangkat menjadi tetamu Allah S.W.T, jadilah tetamu yang beradap. Jadilah tetamu yang beretika. Allah tidak melihat kepada pakaian, perhiasan atau fizikal kalian tetapi yang Allah S.W.T lihat pada hati dan amal perbuatan kalian.
Jadi untuk menjadi tetamu Allah S.W.T, bersihkan hati kita yang busuk, berpenyakit dan berdosa itu kerana Allah S.W.T tahu, walaupun orang lain tidak tahu. Hindari kata-kata yang kotor, hindari dari menambah-nambah dosa dengan bertengkar tetapi mengalah. Apa sahaja kebaikan yang kita lakukan Allah S.W.T tahu, walaupun semua orang tidak tahu.
Jadi kita disuruh membawa bekal. Apa bekalnya? Bekalnya adalah takwa. Dan Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Takwa itu ada di sini,”
(HR. Muslim no.2564 dalam Kitabul Birri wash Shilah).
Maksud takwa itu di sini (hati). Seseorang yang hatinya bertakwa maka anggota badannya juga bertakwa kepada Allah S.W.T karena Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Ketahuilah bahwa di dalam jasad ada segumpal darah. Kalau ia baik maka seluruh jasad menjadi baik, dan kalau ia rusak maka seluruh jasad menjadi rusak. Ketahuilah, segumpal darah itu adalah hati.”
(HR. Bukhari no.52 dalam Kitabul Iman, dan Muslim no. 1599 dalam Kitabul Masaqat).
Berapa ramai orang yang mampu, tetapi tidak mahu. Dan berapa ramai yang mahu tetapi tidak mampu. Dan berapa ramai yang mahu dan mampu tetapi tidak tahu. Tidak semua yang menjadi tetamu Allah S.W.T itu, tahu atau berilmu.
Salafussoleh pernah berkata, “Betapa ramai yang berangkat untuk haji tetapi amat sedikit yang berangkat untuk menjadi tetamu Allah S.W.T, untuk berhaji dan untuk mencari reda Allah S.W.T.”
Jadi jangan datang menjadi tetamu Allah S.W.T dengan meletakkan semua sandaran/pergantungan tentang apa yang mesti dibuat kepada juru bimbing semata-mata tetapi mesti datang sebagai tetamu Allah S.W.T dengan ilmu. Mesti beribadah dengan ilmu. Mesti solat dengan ilmu, harus tahu syarat dan rukunnya, jangan ikut-ikutan apa sahaja imam atau orang lakukan. Allah S.W.T mungkin tidak terima solat kamu kerana mungkin ada syarat-syarat dan rukun-rukunnya yang tidak terpenuhi. Contohnya, tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak bersuci, tidak kusyuk dan lain-lainnya. Jadi perlu belajar, perlu ada ilmu.
Keutamaan untuk menjadi tetamu Allah S.W.T, mesti ada ilmu dan tahu hukumnya terlebih dahulu kerana betapa ramai yang menunda-nunda atau menangguh-nangguh menyahut panggilan Allah S.W.T ini.
Apa kata Allah dalam surah Ali Imran ayat 97
“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah S.W.T mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk).”
(Ali Imran : 97)
Yang kafir, yang mengingkari kewajiban haji, yang tidak mahu mengerjakan haji, terpulang dan tidak payah pergi, sebab Allah S.W.T tidak perlukan kita apatah lagi pada alam semester ini. Tetapi ingat, memiliki rumah, telefon bimbit, kenderaan, semua ini tidak wajib tetapi mengerjakan haji, wajib bagi yang mampu untuk ke sana dan mempunyai bekal yang cukup untuk dirinya dan mereka yang bawah tanggungannya yang ditinggalkan, selamat dalam pemusafiran, badan yang sihat dan lain-lain yang berkaitan.
Apakah haji mesti dilaksanakan segera atau oleh ditunda?.
Ada dua pendapat tentang hal ini:
- Haji itu kewajipan yang perlu segera dilaksanakan di ketika syarat-syaratnya terpenuh, dan berdosa bagi orang yang menunda dengan alasan belum bersedia dan banyak dosa. Inilah orang-orang yang tidak mengingat kematian.
Dalilnya dari ayat Ali Imran ayat 97 di atas.
Dan dalam ayat lain,
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Ali Imran : 133)
Haji adalah satu ibadah yang memerlukan persiapan mental, harta, fizikal, ilmu dan emosi. Haji sesuatu yang bukan boleh diambil sambal lewa. Proses penyempurnaannya, menuntut penggunaan tenaga fizikal yang banyak, bersesak-sesak dengan jutaan tetamu Allah S.W.T. Di Ketika usia muda, tenaga dan fizikal masih kuat dan boleh melaksanakan semua kerja haji. Jangan menyesal apabila terpaksa ditolak dengan wheelchair untuk tawaf, sai dan melontar. Jadi bersegeralah mengerjakan haji. Di usia tua ini selalunya tenaga dan ingatan semakin pudar maka tidak kurang ramainya, ada Jemaah yang hilang, sesat jalan, lupa bilangan tawaf dan saie, terpisah dari rombongan, hanya mampu melihat masjidil haram dari jauh dan solat di hotel sahaja kerana sudah tidak mampu berjalan jauh ke masjid dan duduk berlama untuk iktikaf, dan macam-macam lagi. Jadi hal ini perlu difikirkan dan dimuhasabahkan.
Dari Ibnu Abbas R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Bersegeralah kamu mengerjakan haji yang fardu, kerana kamu tidak tahu apa yang akan terjadi.”
(Riwayat Ahmad)
Orang yang mempunyai harta dan mampu pergi haji, kalau ia menangguh-nundanya, maka akan diancam, kalau dia mati, boleh jadi mati sebagai Yahudi atau Nasrani. Hal itu didasarkan pada hadis,
Dari Ali R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Orang yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh membawanya melaksanakan ibadat haji ke Baitullah tetapi dia tidak melaksanakannya, maka jangan menyesal kalau mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.”
(Riwayat Tirmizi)
- Pendapat yang lain ada mengatakan haji itu boleh ditunda.
Dalam mazhab Syafie serta disokong oleh Imam Muhammad bin al-Hasan, ibadat haji bagi orang mampu boleh ditunda pelaksanaannya meskipun ia telah memenuhi semua syarat wajib.
Mereka juga mengatakan bahawa tundaan yang dibuat mestilah dengan azam atau tekad kuat untuk melaksanakan haji. Kalau ia segera mengerjakannya hukumnya adalah sunat dan itu lebih afdal.
Dalil mereka dalam hal ini ialah perbuatan Rasulullah S.A.W dan para sahabat baginda. Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat baginda menangguh pelaksanaan ibadat haji. Ayat tentang kewajipan melaksanakan ibadat haji turun sejak tahun ke enam Hijrah. Pada tahun ke-6 hijrah itu kota Mekah masih di bawah kekuasaan kaum musyirikin dan Nabi S.A.W masih dihalang dari memasuki Kota Mekah.
Allah S.W.T berfirman,
“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu terhalang (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati …”
(Al Baqarah : 196)
Ini bererti terjadi penundaan selama empat tahun, dan empat tahun itu bukan waktu yang pendek. Padahal Rasulullah S.A.W pada tahun ke lapan Hijrah sudah mampu untuk melaksanakannya apabila bandar Mekah jatuh ke tangan baginda. Dan Baginda tidak berangkat mengerjakan haji kerana kesibukan dan kerana Kota Mekah masih penuh dengan kesyirikan dan kaum Musyirikin Mekah masih mengerjakan haji.
Tetapi di tahun ke-9 Hijrah Rasulullah S.A.W menghantar Abu Bakar R.A mengerjakan haji dan Ali bin Abu Thalib juga berangkat sama bersama sahabat-sahabat yang lain untuk mengumumkan yang bermula tahun hadapan tidak dibenarkan kaum musyirikin Mekah menunaikan haji lagi. Jadi Baginda bersama lebih kurang 124,000 sahabat melakukannya di tahun ke-10 Hijrah.
Jadi kalau ada orang menunda mengerjakan haji kerana ada alasan, maka semoga tiada masalah dan tidak berdosa. Contohnya, apabila berlaku situasi yang tidak mengizinkan seperti penularan wabak penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan dan nyawa, mempunyai komitmen terhadap diri dan keluarga, kewangan yang tidak mencukupi, disudut kesihatan dan keselamatan (suasana politik yang tidak stabil/dalam peperangan) ditambah pula dengan larangan pihak pemerintah bagi menjamin kemaslahatan nyawa, maka ia bertukar daripada harus kepada wajib ditangguhkan.
Apa Keutamaan Mengerjakan Haji.
Dari Abu Hurairah R.A yang meriwayatkan bahwa pada suatu ketika Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang amal yang paling utama. Rasulullah S.A.W menjawab,
“Beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya.” Beliau ditanya, “Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab, “Kemudian berjihad di jalan Allah.” Beliau ditanya, “Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab, “Kemudian haji yang mabrur.”
(HR Bukhari)
Sebab tanpa beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, seseorang tidak akan boleh menjalankan jihad dan haji. Dan apabila ia tidak beriman tetapi melakukan jihad dan haji, ia tidak akan mendapat apa-apa.
Berjihad di jalan Allah S.W.T menuntut pengorbankan jiwa, raga, dan harta untuk membela agama Islam dan penyebaran dakwah.
Sebuah hadis dari Abu Said Al-Khudri. Ia berkata,
“Rasulullah S.A.W ditanya, ‘Wahai Rasulullah, siapa manusia terbaik?’ Beliau menjawab, ‘Mukmin yang berjihad di jalan Allah S.W.T dengan jiwa dan harta’.”
(Muttafaq Alaih)
Dari Aisyah R.Anha dia berkata;
“Wahai Rasulullah, engkau memandang jihad itu adalah amalan yang paling utama. Kerana itu, bolehkah kami berjihad?” Rasulullah S.A.W menjawab, “Kalian (kaum wanita) memiliki jihad yang paling utama, iaitu haji yang mabrur.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Abu Hurairah R.A mengatakan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Siapa yang melaksanakan haji tanpa disertai perkataan yang buruk dan tidak berbuat kefasikan (maksiat), maka dia kembali seperti saat dilahirkan ibunya.”
(HR Bukhari)
Jadi, Ketika kembali pulang ke tempatnya, tetamu-tetamu Allah S.W.T itu seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya seandainya sedari awal dia telah membersihkan hatinya, dengan sebenar-benar bertaubat kepada Allah S.W.T. Kalau ingin membicarakan tentang dosa, semua orang berdosa, jadi jalan keluarnya bertaubat. Haji hanya kewajiban, sekali seumur hidup.
Tetamu-tetamu Allah S.W.T, ketika akan menunaikan fardu haji akan mengatakan lafaz zikir ini banyak-banyak,
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْك
لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْ
اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ
“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”
Jadi bagi Jemaah yang sudah memakai ihram, dan dia meninggal sebelum sempat menyelesaikan amalan hajinya, maka kata Nabi S.A.W, dia akan dibangkitkan dalam keadaan sedang bertalbiah, di ketika keluar dari kuburnya nanti.
Dari sahabat Ibnu ‘Abbas R.A beliau berkata,
“Ada seorang laki-laki ketika sedang bersama Nabi S.A.W dijatuhkan oleh untanya dalam keadaan sedang berihram hingga meninggal dunia. Maka, Rasulullah S.A.W bersabda, ‘Mandikanlah dia dengan air dan air yang dicampur daun bidara, kafanilah dengan dua helai kain, janganlah diberi wewangian, dan jangan pula diberi tutup kepala (serban). Karena dia nanti dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan ber-talbiyyah.’”
(HR. Bukhari no. 1851 dan Muslim no. 99, 1206)
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Ibadah umrah ke umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa-dosa) di antara kedua-duanya. Haji yang mabrur, tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Haji yang mabrur, adalah haji yang dilakukan dengan ikhlas, dengan bekal dari sumber yang halal dan mengikut kehendak syariat yang telah ditetapkan oleh agama dan diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Tiada ganjaran yang layak untuk mereka kecuali syurga. Maka kita kena sering berdoa dengan doa di bawah, doa yang Nabi S.A.W ajar agar dibaca semasa tawaf apabila melalui pusingan antara rukun Yamani dan Hajar Aswad:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْأَبْرَارِ. يَا عَزِيزُ يَا غَفَّارُ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab api neraka. Masukkan kami ke dalam syurga bersama orang-orang yang baik Wahai Tuhan yang Maha Mulia, Maha Pengampun serta Engkaulah Tuhan yang menguasai seluruh alam.”
Di Padang Arafah, puncak ibadah haji. Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan wukuf di padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung seperti sabda Rasulullah S.A.W:
الْحَجُّ عَرَفَةُ
”Haji adalah Arafah.”
(Riwayat Ibnu Majah (3015),al-Nasaie (3016),Ibnu Khuzaimah (2822) di dalam Sohihnya,Imam Ahmad (18774) di dalam Musnad)
Diriwayatkan lagi daripada Hadis Jabir R.A Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
”Tiada hari yang paling baik di sisi Allah S.W.T melainkan Hari Arafah. Allah S.W.T turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia, Lantas berkata: “Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku, mereka berkumpul atau berhimpun kepada-Ku dalam keadaan penuh debu dan kusut, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab-Ku, Maka tidak dilihat hari yang lebih banyak pelepasan daripada api neraka-Ku daripada hari Arafah.”
(Riwayat Ibnu Hibban (3853),Abu Ya’la (2036) di dalam Musnad)
Jadi, bagi sesiapa yang belum mengerjakan haji, berazamlah dan berusahalah dengan sungguh-sungguh untuk ke sana.
Kenapa?
Untuk menjadi tetamu Allah S.W.T. Jangan pernah berhenti untuk berazam dan berusaha untuk kesana, Allah S.W.T akan penuhi kemampuan dan azam kita. Aamiin. Haji yang wajib hanya sekali, yang lainnya hanya sunnah.
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
“Laksanakanlah ibadah haji berserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghapuskan kamu daripada kefakiran dan dosa-dosa, sebagaimana al-kir (bahan yang digunakan untuk menghilangkan) segala kekotoran besi, perak dan emas. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga.”
(Sunan Tarmizi No: 738) Status: Hadis Hasan Sahih
Menjadi kewajipan bagi setiap Muslim yang berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah. Mereka yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan mengeluarkan perbelanjaan yang besar, namun Rasulullah S.A.W menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan dari kemiskinan. Dan orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan bersungguh-sungguh akan menjadi penghapus dosa-dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan segala kekotoran pada besi, perak dan emas malah diberikan sebaik-baik ganjaran, iaitu syurga untuknya.
Penutupnya,
Seandainya tahun ini, tidak dapat melaksanakan haji, tanamlah di dalam jiwa masing-masing niat dan tekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman (tetamu Allah S.W.T) walaupun sekali seumur hidup. Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi ilmu, mental, rohani, fizikal dan emosi agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang akan kita kerjakan dan mendapat haji yang mabrur. Bagi yang ingin menjadi tetamu Allah SWT, perlu mendaftar di Tabung Haji atau menabung dari sekarang, sebagai membuktikan kesungguhan tekad kita untuk ke sana. Mudah-mudahan menjadi amal soleh kita.
Pada suatu hari Rasulullah S.A.W berdiri di hadapan manusia seraya bersabda yang bermaksud,
“Wahai manusia, Allah S.W.T telah mewajibkan haji terhadap kalian. Oleh karena itu, tunaikanlah ibadah haji.”
Kemudian ada seseorang yang berkata, “Wahai Rasulullah, apakah itu wajib dilaksanakan setiap tahun?” Lalu Rasulullah S.A.W terdiam, sehingga orang itu mengulangi pertanyaannya sampai tiga kali. Lantas Rasulullah S.A.W bersabda, “Seandainya Aku mengatakan ya, nescaya ia akan menjadi sebuah kewajiban untuk dilaksanakan setiap tahun, maka kalian tidak akan boleh melakukannya dengan sebaik-baiknya dan jika kalian tidak melakukannya, maka hukumnya akan menjadi haram.” Lalu beliau melanjutkan sabdanya, “Biarkanlah Aku dengan apa yang Aku katakan terhadap kalian, karena orang-orang sebelum kalian menjadi hancur, disebabkan banyak bertanya dan menentang nabi-nabi mereka. Jika Aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, maka laksanakanlah sesuai dengan kemampuan kalian. Jika Aku melarang sesuatu kepada kalian, maka tinggalkanlah.”
(Shahih Muslim, Kitab Al-Hajj, Bab Fardh Al Hajj Marratan fi Al-Umr (1377); Musnad Ahmad (10615); Sunan Al-Baihaqi Al-Kubra (8398))
Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah S.W.T daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah reda, hidayah, rahmat dan keampunan-Nya. Aamiin.
Wallhua’lam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 24/5/2024