Mereka ‘ahli syurga’ yang tersasar

Mereka ‘ahli syurga’ yang tersasar


TIDAK ramai sanggup melangkah ke penjara demi berdakwah kerana tempat itu sering dianggap gelap, terpencil, kurang menyenangkan serta penuh prosedur keselamatan yang ketat.

Apatah lagi, usaha itu memerlukan komitmen tinggi selain terpaksa mengeluarkan kos sendiri.

Namun, bagi pendakwah, Dr Mohamed Sabir Jamaludin, hatinya tergerak untuk menyantuni golongan di sebalik jeriji besi itu untuk menyampaikan ilmu dan memberi sinar harapan kepada insan yang sering dipinggirkan.

Baginya, institusi penjara bukan sekadar ruang untuk banduan menjalani hukuman, malah ia merupakan medan dakwah yang sangat subur.

DR MOHAMED SABIR -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

“Penjara ialah tempat dakwah yang terbaik kerana jika kita berjaya ‘bina’ (sahsiah) mereka (banduan), kita dapat membantu kelompok ini agar tidak kembali terjebak dalam jenayah.

“Tambahan pula, mereka sangat memerlukan bimbingan agama dan (dorongan) motivasi daripada masyarakat luar,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Pada awalnya, Dr Mohamed Sabir, 51, hanya berniat mewakafkan tiga buku tulisannya iaitu Cabaran Dakwah 25 Rasul, Cabaran Dakwah Nabi Muhammad dan Cabaran Dakwah Pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin kepada pihak penjara.

Niat itu hadir apabila beliau melihat realiti banduan yang membaca al-Quran tanpa memahami isu kandungannya, lalu berharap buku-buku tersebut dapat membuka mata kelompok itu bahawa cabaran hidup bukan hanya milik mereka, bahkan nabi juga berhadapan dengan ujian yang hebat.

“Bila saya sampaikan (kisah-kisah) sejarah, mereka baru tahu dalam hidup ini ada pelbagai cabaran. Jangan rasa diri mereka paling susah,” jelas beliau yang berpeluang menyerahkan sendiri karya-karyanya di 43 buah penjara di seluruh negara, di samping turut diberikan peluang memberi ceramah motivasi kepada banduan sejak 2019 hingga 2023.

DR MOHAMED SABIR (dua, kiri) mula aktif memberikan ceramah motivasi di penjara selepas mewakafkan tiga buku tulisannya pada 2019. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

DR MOHAMED SABIR (dua, kiri) mula aktif memberikan ceramah motivasi di penjara selepas mewakafkan tiga buku tulisannya pada 2019. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

Bimbingan psikologi, motivasi

Sebagai pendakwah hampir tiga dekad dan Pensyarah Kanan di Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Dr Mohamed Sabir menjelaskan, pendekatan dakwah terhadap penghuni penjara berbeza.

“Ada beberapa kategori banduan. Ada yang benar-benar melakukan jenayah, ada pula yang teraniaya (jadi mangsa keadaan) dan tersalah langkah kerana kejahilan.

“Terdapat juga yang keluar masuk penjara kerana terperangkap dengan kitaran dadah, kemiskinan, hilang pekerjaan, tiada tempat bergantung dan dibuang keluarga. Jadi dia masuk balik penjara kerana sekurang-kurangnya ada tempat berteduh dan boleh makan,” tuturnya.

Oleh itu, katanya, dakwah di penjara tidak boleh bersifat satu hala. Dr Mohamed Sabir menggunakan pendekatan psikologi dan motivasi.

“Ceramah dengan banduan tak boleh satu hala. Saya berjalan, bercakap depan mereka dan tanya soalan peribadi.

“Satu perkara yang saya amalkan, saya panggil mereka ‘Tuan’ supaya mereka rasa dihormati. Paling penting, kita kena buat mereka berfikir, bukan hanya dengar saja,” kongsinya tentang ceramah beliau.

DR MOHAMED SABIR (tengah) aktif melaksanakan ceramah motivasi di penjara sejak tahun 2019 hingga 2023. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

DR MOHAMED SABIR (tengah) aktif melaksanakan ceramah motivasi di penjara sejak tahun 2019 hingga 2023. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

Lebih utama, beliau mengingatkan penghuni penjara bahawa kehidupan mereka sama ada ketentuan takdir atau akibat pilihan sendiri. Pesanan itu penting agar mereka tidak terus hanyut dalam penyesalan.

Stigma negatif masyarakat

Sepanjang hampir dua jam pertemuan kami, pendakwah kelahiran Taiping, Perak itu banyak berkongsi pengalaman yang cukup menyentuh jiwa.

Antara kisah yang meruntun hatinya adalah apabila ramai banduan berjaya menghafaz al-Quran sepanjang di penjara, namun selepas dibebaskan, mereka tidak disambut oleh masyarakat.

“Kalau mereka keluar, surau dan masjid sanggup tak ambil mereka sebagai imam? Bolehkah mereka ajar anak-anak mengaji? Soalan itu pernah ditanyakan kepada saya.

“Saya sendiri tidak mampu menjawab kerana ia di luar bidang kuasa saya,” luahnya.

Kisah banduan mualaf juga tidak kurang memilukan. Dakwanya, ada antara mereka yang dibuang keluarga selepas memeluk Islam dan akhirnya ditampung oleh pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam kerana tiada pusat perlindungan khusus bagi mualaf yang keluar dari penjara.

SELAIN berdakwah di penjara, Dr Mohamed Sabir juga banyak berceramah di masjid sekitar Bangi, Putrajaya dan Kajang. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

SELAIN berdakwah di penjara, Dr Mohamed Sabir juga banyak berceramah di masjid sekitar Bangi, Putrajaya dan Kajang. -Foto: IHSAN DR MOHAMED SABIR JAMALUDIN

Meskipun berhadapan pelbagai cabaran, semangat Dr Mohamed Sabir yang juga Pendakwah Du’at Al-Falah di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu untuk terus berdakwah tidak pernah pudar.

Beliau berhasrat untuk memperluaskan usaha dakwahnya melalui kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menyantuni golongan penagih yang memerlukan bimbingan.

“Kalau saya tak bantu mereka, saya tak pasti siapa lagi yang mahu membantu mereka,” jelas beliau.

Bagi Dr Mohamed Sabir, dakwah bukan sekadar di mimbar masjid atau surau, tetapi harus menyusup kepada golongan terpinggir daripada masyarakat.

“Sebab mereka tak jumpa jalan pulang. Kita perlu sedar, (segelintir) mereka tak kenal agama, tidak solat, bahkan tidak kenal Tuhan. Saya anggap mereka ‘ahli syurga’ yang tersasar. Kalau kita tak tolong bentuk mereka, siapa lagi?” katanya menutup bicara.



Source link

OR

Scroll to Top