Mereka tahu macam mana saya sayang mereka: Anna

Mereka tahu macam mana saya sayang mereka: Anna


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Nama Anna Jobling kini mengharum dan menjadi sebutan apabila dinobatkan sebagai pemenang trofi Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards 2025 (SDA) di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, Khamis lalu.

Kejayaan Anna atau pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, menerusi drama Hai Cinta, Dengarkanlah! membawa dimensi baru dalam kariernya.

Bagaimanapun, pelakon jelita ini tetap berpijak di bumi nyata apabila tidak mudah lupa diri dibuai kemenangan ini apabila mendedikasikan trofi terbabit kepada banyak pihak.

“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa.

“Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga serta pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya.

“Juga penghargaan tertinggi dan terima kasih saya kepada Tonton dan TV3 kerana sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya selama ini,” katanya.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini menzahirkan perasaan indah bahawa trofi berkenaan adalah kebanggaan bersama dan menjadi hadiah istimewa yang dibawa pulang untuk Malaysia.

Apatah lagi, SDA adalah acara berprestij mengiktiraf anak-anak seni dari pelbagai negara yang berjaya dalam kerjaya mereka.

Acara terbabit turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV.

“Kemenangan ini membuktikan artis kita bukan sahaja memikat hati penonton Malaysia, malah menarik perhatian peminat antarabangsa.

“Ia sekali gus membuka lembaran baharu untuk kita mengorak langkah ke peringkat luar selepas ini tanpa sebarang halangan atau sempadan.

“Saya berazam untuk menjadi inspirasi kepada generasi baharu pelakon Malaysia agar berani bermimpi besar supaya dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Kemenangan yang dilakar Anna turut membawa satu simbol bahawa dunia seni lakonan Malaysia semakin mendapat tempat di peringkat global.

Anna bagaimanapun berkata, dia sebenarnya tidak pernah meletakkan harapan tinggi setiap kali dicalonkan untuk anugerah.

“Saya tak pernah fikir saya kena menang kerana masuk pencalonan pun sudah cukup buat saya rasa bersyukur kerana ia adalah satu pengiktirafan.

“Apabila menang pula, saya tak anggap ia bagai satu tekanan apabila berlakon kerana takut tewas dalam mana-mana anugerah selepas ini. Tidak sama sekali.

“Namun, saya sentiasa beri tekanan pada diri sendiri untuk terus memperbaiki mutu kerja, sama ada dari segi lakonan atau projek lain. Anugerah ini buat saya mahu bekerja lebih keras dan lebih baik,” katanya.

Berkongsi pengalaman berada di acara berprestij itu, Anna gembira kerana berpeluang bertemu dengan juri antarabangsa yang menonton lakonannya.

“Saya terharu bila mereka kata mereka suka dengan cerita itu. Saya pun sempat jumpa pelakon dari negara lain di acara itu.

“Mereka semuanya sangat baik, peramah dan rendah diri. Ada juga yang tunjuk minat nak bekerjasama. Mana tahu ada rezeki nanti,” katanya gembira.

Tidak dapat tidak, kejayaan Anna semestinya disokong oleh tonggak terbesar dalam kariernya iaitu peminat.

Menurutnya, dalam kesibukan jadual penggambaran, dia tetap cuba mencari ruang untuk bertemu peminat yang banyak menyokongnya sejak awal kerjayanya.

“Saya rapat dengan peminat. Walaupun tak selalu dapat berjumpa, saya akan cuba cari masa untuk Facetime, buat Zoom atau kemas kini mereka berkenaan aktiviti saya.

“Bagi saya, hubungan dengan peminat bukan kerana anugerah atau undian, tapi sebab mereka memang sebahagian daripada perjalanan kerjaya seni saya.

“Mereka tahu macam mana saya sayang mereka. Mungkin, insya-Allah kalau saya balik ini, boleh jumpa mereka, namun ia bergantung juga dengan jadual saya,” katanya.

Detik indah dan kejayaan Anna turut diraikan oleh Tonton apabila melancarkan kod promo eksklusif “ANNAJOBLING” yang membolehkan peminat menikmati langganan tiga bulan Tonton pada harga istimewa RM20 bermula 25 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top