rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain meninjau penugasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena lawatan kerjanya di Sabah, hari ini.
Antara dilawati adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Pos Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 22 Kunak dan Batalion 14 Tawau.
Razarudin berkata, lawatan kerja itu memberi tumpuan kepada peranan strategik PGA dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam mengawal keselamatan di kawasan sempadan pantai timur Sabah, yang sering dianggap sebagai zon berisiko tinggi serta melihat langkah keselamatan daripada sebarang ancaman.
Menurutnya, beliau turut menyantuni pegawai dan anggota terbabit yang tidak mengenal erti penat lelah mengawal sempadan pantai Timur Sabah.
“Merekalah wira yang tidak didendang untuk menangani segala ancaman jenayah rentas sempadan, pencerobohan dan penyeludupan yang boleh berlaku di sempadan negara.
“Lebih membanggakan saya adalah pasukan keselamatan dan warga Persatuan Keluarga Polis di sana yang tetap istiqomah dan saling bantu membantu antara satu sama lain ketika susah senang untuk terus melindungi kedaulatan negara tercinta,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi PDRM.
Program Razarudin bersama delegasi yang memasuki hari ketiga hari ini, dimulakan dengan kunjungan ke IPD Semporna dengan disambut oleh Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias bersama Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol.
Program diteruskan dengan lawatan ke Batalion 22 Kunak yang terletak bersebelahan IPD Semporna dan disambut oleh Pegawai Pemerintah (PP) batalion, Superintendan Norman Chendan Philip Picha Rumpang.
Lawatan ke batalion itu bagi melihat pejabat baharu dan kediaman yang sedang dibaik pulih untuk keselesaan warga batalion.
Razarudin bersama delegasi meneruskan sesi lawatan ke Pos PGA Pulau Mataking, Batalion 14 Tawau dengan menaiki aset bot milik PPM yang mengambil masa lebih kurang 45 minit dari tanah besar.
Kehadiran beliau di pos gabungan pasukan keselamatan PDRM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu disambut PP Markas Taktikal Kompeni, Asisten Superintendan Ibrahim Mastar bersama 48 pegawai dan anggota polis serta tentera.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit sebelum meneruskan program ke Pulau Mabul bagi meninjau keadaan Pos Platun TAK Batalion 22 Kunak.
Sepanjang berada di pulau itu, Razarudin diberi taklimat oleh PP Platun TAK Pulau Mabul, Inspektor Herwan Shah Abdullah Mohamad berkenaan situasi semasa keselamatan dan prasarana yang disediakan bagi penugasan anggota PGA.
Turut sama dalam lawatan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohd Rodhi; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari; Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd