London: Arsenal kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menundukkan Chelsea 1-0 dalam aksi tetangga London, sebentar tadi.
Jaringan tunggal perlawanan hadir menerusi tandukan Mikel Merino pada minit ke-20, yang menewaskan Robert Sanchez selepas menerima hantaran sudut Martin Odegaard.
Kemenangan itu adalah yang pertama buat Arsenal dalam empat perlawanan EPL terakhir mereka, sekali gus menyuntik semangat dalam usaha mengejar pendahulu liga, Liverpool.
Skuad kendalian Mikel Arteta kini berada di tangga kedua dengan 12 mata di belakang Liverpool, yang bakal berdepan Newcastle United dalam final Piala Liga.
Kedua-dua pasukan sudah mengharungi 29 perlawanan liga dengan baki sembilan aksi sebelum musim berakhir.
Chelsea pula kekal di tangga keempat, satu mata di hadapan Manchester City dan lima mata di belakang Nottingham Forest yang menghuni kedudukan ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd