SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan SMK Dato’ Harun mengetuai enam lagi pasukan mara ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) selepas menewaskan lawan masing-masing dalam saingan pusingan 16 terbaik pada Jumaat.
Di Padang UNISEL, SMK Dato’ Harun menampilkan aksi bertenaga untuk menumpaskan SMK Bandar Puncak Jalil 4-2, manakala di JSA Setia Alam, SMK Meru turut mempamerkan ketajaman penyudah apabila menundukkan SMK Seksyen 10 Kota Damansara 4-2 dalam pertemuan sengit.
Barisan pengurusan, jurulatih dan pemain SMK Meru bagi kempen Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2025.
Di EV Arena Elmina, SMK Saujana Utama mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan SMK Seksyen 19, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas keputusan masa penuh berakhir tanpa jaringan.
SMK Taman Melawati pula memastikan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas SMK Bandar Seri Putra di Padang UKM ‘B’, Bangi, manakala SMK Bandar Baru Bangi turut mara selepas menumpaskan SMK Taman Medan 3-1 di Astaka Petaling Jaya.
Turut melangkah ke kelompok lapan terbaik ialah SMK Putra Perdana yang menyingkirkan SMK Kuala Kubu Bharu 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 di FootballHub Central, Puchong.
Di EV Arena Seksyen 13, SMK Seksyen 9 juga mencipta kemenangan mendebarkan apabila menewaskan SMK Bandar Tun Hussein Onn 2, 4-3 menerusi sepakan penalti selepas keputusan masa penuh berakhir 2-2.
SMK Bandar Tasik Kesuma pula melengkapkan senarai lapan pasukan terbaik selepas menewaskan SMK Dato’ Hamzah 2-0 di Padang Eco Majestic, sekali gus menempah slot terakhir ke suku akhir.
Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.
INFO
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15
SUKU AKHIR
ISNIN (13 OKTOBER)
– SMK Saujana Utama lwn SMK Taman Melawati
(Padang Arena 26 A, 3.30 petang)
– SMK Bandar Baru Bangi lwn SMK Putra Perdana
(Padang MBSA Seksyen 28 A, 3.30 petang)
– SMK Seksyen 9 lwn SMK Dato’ Harun
(Padang Arena 26 B, 3.30 petang)
– SMK Bandar Tasik Kesuma lwn SMK Meru
(Padang MBSA Seksyen 28 B, 3.30 petang)
Ringkasan AI
- SMK Meru dan SMK Dato’ Harun mengetuai enam lagi pasukan mara ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15)
- SMK Dato’ Harun menumpaskan SMK Bandar Puncak Jalil 4-2
- SMK Meru menundukkan SMK Seksyen 10 Kota Damansara 4-2
- SMK Saujana Utama, SMK Taman Melawati, SMK Bandar Baru Bangi, SMK Putra Perdana, SMK Seksyen 9, dan SMK Bandar Tasik Kesuma melangkah ke suku akhir
- Perlawanan suku akhir akan diadakan pada hari Isnin (13 Oktober)