Meru tampil ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari tanpa tekanan, hanya tekad

Meru tampil ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari tanpa tekanan, hanya tekad


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang tekad menjadikan pentas akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2025 sebagai medan untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila sekali lagi mara ke final menentang SMK Putra Perdana, Puchong di Stadium Matsushita Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam pada Sabtu.

Bagi pengendali pasukan, Mat Hassan Mat Rofi, beliau enggan menekan anak didiknya menjelang aksi penentu itu sebaliknya mahu mereka menikmati permainan sambil kekal fokus terhadap taktikal yang telah diterapkan sepanjang kejohanan.

“Menjelang aksi final malam Sabtu, saya tidak beri tekanan kepada pemain. Cuma saya selalu ingatkan mereka supaya tidak ambil mudah dan jangan sesekali memandang rendah kemampuan pihak lawan. Paling penting, kekal fokus dengan corak permainan sendiri hingga ke wisel penamat,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mat Hassan (dua dari kanan) bersama barisan kejurulatihan SMK Meru.

Jurulatih berpengalaman itu menegaskan Meru akan mengekalkan identiti permainan menyerang serta tekanan tinggi ke atas lawan yang menjadi kekuatan utama pasukan sejak pusingan awal lagi.

“Kita akan terus bermain dengan gaya menyerang. Pemain mesti cepat menutup ruang dan segera menguasai bola. Pertahanan yang baik bermula daripada mengawal permainan,” ujarnya sambil menambah setiap pemain kini sudah memahami falsafah bola sepak yang diterapkan.

Mengulas perjalanan pasukan ke pentas akhir, Mat Hassan mengakui ianya bukan laluan mudah, sebaliknya menuntut disiplin dan semangat juang tinggi daripada setiap pemain sama ada yang diturunkan atau berada di bangku simpanan.

“Perjalanan ke pentas final ini penuh cabaran. Saya tekankan kepada pemain bahawa semangat juang mesti ada dalam diri setiap individu. Bukan sahaja yang berada dalam padang, malah mereka di bangku simpanan juga perlu sentiasa bersedia apabila dipanggil,” jelasnya.

Bagi Mat Hassan, pentas final kali ini membawa makna tersendiri apabila beliau mahu menebus episod duka dua tahun lalu yang menyaksikan Meru tewas di perlawanan akhir kategori sama.

“Secara peribadi, final ini amat penting buat saya dan pasukan. Dua tahun lalu kami tewas di pentas sama, dan kini tiba masa untuk mengubah skrip lama. Inilah peluang terbaik untuk kami mencipta sejarah baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap berhati-hati dengan ancaman SMK Putra Perdana yang sinonim dengan corak permainan pantas dan mampu melakukan serangan balas berbahaya.

“SMK Putra Perdana pasukan yang mampu beri kejutan dengan serangan pantas. Jadi saya ingatkan barisan pertahanan agar sentiasa peka dengan larian dari belakang. Komunikasi antara pemain amat penting, supaya mereka saling mengingatkan antara satu sama lain dalam apa jua situasi,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mat Hassan mengingatkan pemain supaya berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Kita mahu kekal dengan corak menyerang, tapi saya pesan supaya jangan cuai. Dalam perlawanan akhir, ruang kesilapan terlalu kecil dan boleh menghukum pasukan sendiri,” tegasnya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga sekolah yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan pasukan sejak hari pertama kejohanan berlangsung.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengetua, Mohd Hijazi Mohd Harawi, atas sokongan padu beliau serta Yang Dipertua PIBG, Zakaria Ishat, yang sentiasa membantu dari segi kewangan dan motivasi.

“Sokongan mereka menjadi pembakar semangat kepada kami untuk memberikan yang terbaik di pentas akhir,” katanya.

Sebagai rekod, juara edisi 2025 akan menerima RM8,000 dan medal, naib juara RM6,000 dan medal, ketiga menerima RM4,000 dan medal dan keempat RM2,000 dan medal

Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

ROAD TO FINAL PIALA MOKHTAR DAHARI B-15 SMK MERU

KUMPULAN H

SMK Meru 2-1 SMK Seri Selanyang

SMK Meru 1-0 SMK Sultan Abdul Samad

SMK Meru 2-0 SMK Seksyen 19

* Meru mara dengan status JUARA KUMPULAN H

PUSINGAN 16

SMK Meru 4-2 SMK Seksyen 4 Kota Damansara

SUKU AKHIR

SMK Meru 2-1 SMK Bandar Tasik Kesuma

SEPARUH AKHIR

SMK Meru 2-0 SMK Seksyen 9

 

Ringkasan AI

  • SMK Meru, Klang mara ke final Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun 2025 untuk berhadapan dengan SMK Putra Perdana, Puchong
  • Pengendali pasukan, Mat Hassan Mat Rofi, mahu pemain menikmati permainan tanpa ditekan tetapi tetap fokus pada strategi
  • Strategi permainan menyerang dan tekanan tinggi ke atas lawan diteruskan sebagai kekuatan utama pasukan
  • Mat Hassan melihat final sebagai peluang untuk menebus kekalahan di perlawanan akhir dua tahun lalu
  • Kepada penyokong termasuk Pengetua dan Yang Dipertua PIBG, Mat Hassan menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan mereka



Source link

OR

Scroll to Top