SKUAD Bawah 18 Tahun (B-18) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru bertekad mengekalkan rentak garang menjelang aksi suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2025 menentang SMK Jalan Reko pada Rabu.
Penolong pengendali, Mat Hassan Mat Rofi, menegaskan barisan pemain tidak boleh lagi menoleh ke belakang selepas berjaya membenam SMK Kuala Kubu Bharu 4-0 di pusingan 16 terbaik.
“Alhamdulillah pasukan bermain baik dan mengikut perancangan. Kita harap momentum ini diteruskan apabila bertemu Jalan Reko di suku akhir,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mat Hassan (kanan) bersama barisan kejurulatihan SMK Meru.
Mengakui lawan kali ini lebih mencabar selepas menyingkirkan SMK Subang Jaya 3-2 dalam aksi dramatik, Mat Hassan menekankan aspek disiplin pertahanan sebagai faktor penentu.
“Kita ingatkan pertahanan supaya tidak leka dengan kejutan taktikal pihak lawan dan mengelak kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama percaya gandingan ketua jurulatih, Sabri Jaafar, bersama barisan pembantu jurulatih Nazreen Naim, Mohd Faniezat dan Mohd Syukri mampu memastikan Meru kekal fokus ke arah misi mara ke separuh akhir.
Tidak ketinggalan, Mat Hassan turut menzahirkan penghargaan kepada Pengetua, Mohd Hijazi Mohd Harawi dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zakaria Ishat atas sokongan padu yang kepada pasukan sepanjang kejohanan.
INFO
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-18
SUKU AKHIR
RABU (3 SEPTEMBER)
SMK Telok Panglima Garang lwn SMK Bandar Tasik Puteri
(Padang MBSA Seksyen 28, 3. 30 petang)
SMK Meru lwn SMK Jalan Reko
(Arena 26, Shah Alam, 3.30 petang)
SMK Bandar Saujana Putra lwn SMK Dato’ Harun
(Padang MBSA, Seksyen 28, Shah Alam)
SMK Seksyen 19 lwn SMK Taman Tasik
(Arena 26, Shah Alam, 3.30 petang)