Paris : Mesir membuat kejutan dengan menumpaskan Sepanyol 2-1 sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir bola sepak dengan Ibrahim Adel menjaringkan kedua-dua gol itu.
Ibrahim memberi kelebihan kepada Mesir di Bordeaux dengan jaringan hebat pada akhir babak pertama dan menambah satu lagi pada minit ke-62 selepas dia memanfaatkan kesilapan Jon Pacheco dari Sepanyol yang hilang kawalan bola.
Samu Omorodion berjaya menjaringkan satu gol balas untuk Sepanyol pada lewat permainan, tetapi Mesir bertahan untuk kemenangan yang membolehkan mereka memintas lawan yang sudah layak dan merampas tempat pertama dalam Kumpulan C.
Mesir, yang diketuai oleh bekas pemain tengah Arsenal Mohamed Elneny, akan bermain dalam suku akhir pada hari Jumaat di Marseille menentang naib juara Kumpulan D, yang terdiri daripada Jepun, Paraguay, Mali, dan Israel.
Mesir tewas di suku akhir tiga tahun lalu kepada Brazil yang kemudiannya menewaskan Sepanyol dalam perlawanan akhir.
Pertarungan suku akhir Sepanyol akan berlangsung di Lyon menentang juara Kumpulan D.
Tuan rumah iaitu Perancis dan pemenang pingat emas dua kali Argentina adalah antara pasukan lain yang berharap untuk mara ke suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd