surayaroslan@mediaprima.com.my
WALAUPUN berstatus anak tunggal, kehidupan Nurul Afina Aqila Azman, 11, dan mesra disapa ‘Che Tam’, tidak pernah sepi.
Ini kerana, setiap hari dia ditemani ‘rakan baik’ yang luar biasa iaitu seekor kerbau betina dinamakan ‘Bantut’.
Bagi kanak-kanak dari Felda Lepar Hilir 2, Gambang, Pahang itu, Bantut yang kini berusia lima tahun bukan sekadar haiwan ternakan, tetapi sahabat karib dan sebahagian keluarganya yang sentiasa menemaninya bermain di kandang serta menjadi sumber kegembiraan dan peneman setia di kala sunyi.
Warisan Ayah dan Datuk
Bapanya, Azman Umar, 33, berkata, keluarga mereka sudah lama terbabit dalam bidang penternakan.
“Saya mewarisi ternakan ini daripada ayah yang sudah lama dalam bidang ini iaitu 20 tahun lalu, tapi saya ambil alih sepenuhnya kira-kira 10 tahun lalu.
“Kini, saya pelihara 30 kerbau dan 30 lembu di kandang yang terletak lima kilometer dari rumah,” katanya.
Namun, daripada semua kerbau yang dipelihara, Bantut paling istimewa di hati keluarga mereka terutama buat anak perempuan tunggalnya, Che Tam.
“Bantut ni asalnya kecil dan kurang sihat sebab kekurangan zat dan susu ketika masih kecil.
“Jadi, masa itu, dia agak lembik, itu yang kami panggil dia Bantut. Tapi peliknya, sejak kecil lagi dia paling jinak dengan anak saya,” kata Azman.
Hadiah Paling Bermakna
Menurut Azman, Bantut pada asalnya dibeli oleh datuk Che Tam sebagai hadiah buat cucunya.
“Ketika Bantut berumur setahun, ayah saya belikan khas untuk Che Tam.
“Kini, Bantut sudah berumur lima tahun dan memiliki seekor anak yang juga kerbau albino,” katanya.
Sejak itu, hubungan antara anak dan kerbau itu semakin rapat.
Che Tam bukan sekadar bermain dengannya, malah membantu ayahnya di kandang setiap hari.
“Setiap kali pulang dari sekolah, dia akan terus tukar baju dan ajak saya ke kandang. Kalau tak dapat pergi, dia rasa macam tidak lengkap hari yang dilaluinya,” katanya.
Perjalanan Hidup Che Tam
Azman berkata, gelaran Che Tam diberikan oleh ibunya yang berasal dari Kedah dan sehingga kini, ia meniti di bibir semua orang.
“Sejak berumur empat tahun, Che Tam sudah berani berdiri di sisi lembu dan kerbau. Kecil molek, tapi tak pernah gentar bila berada di kandang.
“Masa itu orang tengok pun risau, namun Che Tam tetap tenang, macam dah jadi kawan rapat,” katanya.
Katanya, memasuki usia enam tahun, Che Tam semakin rapat dengan Bantut.
“Ada kalanya, balik daripada sekolah agama, dengan pakaian seragamnya, dia akan singgah dulu berjumpa Bantut sebelum masuk rumah. Senyum manis, tangan kecilnya mengusap badan kerbau yang besar tanduknya.
“Sehingga usia lapan tahun, Che Tam sudah pandai bermanja, ada kalanya turut bergambar dengan Bantut.
“Dia ceria membesar dengan suasana yang penuh kasih sayang, bukan saja daripada keluarga, malah haiwan ternakan yang jadi teman hariannya,” katanya.
Katanya, kini Che Tam sudah berusia 11 tahun, namun kenangan bersama Bantut tetap menjadi kisah indah yang tidak dirasai semua orang.
“Daripada kecil hingga sekarang, kerbau bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi sebahagian daripada perjalanan hidupnya di kampung.
“Che Tam turut membesar dengan kerbau, dan kerbau jadi saksi senyuman serta keceriaannya daripada kecil hingga kini,” katanya.
Rutin Petang Bersama Bantut
Kebiasaannya, sekitar jam 6 petang hingga 6.50 petang, Che Tam akan berada di kandang.
Ada kalanya dia membantu Azman melepaskan kerbau dan pada sebelah petang, mereka bersama-sama membawa Bantut pulang ke kandang yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah.
“Dia memang sayang sangat pada Bantut. Bantut juga sudah cam bau Che Tam, itu menjadikan hubungan mereka sangat rapat,” katanya.
Walaupun rakan sebaya dengannya ramai yang leka dengan gajet, bagi Che Tam, masa bersama Bantut jauh lebih berharga.
“Ada kalanya Che Tam tengok telefon juga, tapi banyak masanya dia lebih seronok bermain dengan Bantut,” kata Azman.
Azman berkata, guru-guru di sekolah turut mengetahui mengenai hubungan rapat anaknya dengan kerbau itu.
“Cikgu pun tahu dia ada ‘kawan baik’ seekor kerbau. Ramai juga yang mahu dekat dengan Bantut, tetapi mereka takut,” katanya.
Tidak Akan Jual Bantut
Walaupun ada yang menawarkan untuk membeli Bantut pada harga mencecah RM10,000, Azman tetap dengan pendiriannya.
“Memang ramai mesej, ada yang nak beli sampai RM8,000 atau RM10,000. Tapi saya takkan jual. Saya dah hadiahkan Bantut pada anak saya, jadi itu memang milik dia.
“Che Tam pun dah anggap Bantut macam kawan dan keluarga sendiri. Dia sayang sangat,” katanya.
Kasih Yang Tak Ternilai
Bagi Azman, memelihara haiwan bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga satu cara mendidik anak mengenal tanggungjawab dan kasih sayang.
“Kalau nak pelihara haiwan, kena ajar dari kecil. Kena berani pegang, kena kenal bau, baru haiwan itu jinak dan percaya,” katanya yang turut menjalankan perniagaan produk ternakan secara dalam talian.
Kisah Che Tam dan Bantut membuktikan bahawa kasih sayang antara manusia dan haiwan mampu membentuk hubungan yang tulus dan ikhlas tanpa batasan.
Dalam dunia serba moden dan sibuk hari ini, persahabatan antara seorang kanak-kanak dan seekor kerbau ini menjadi simbol keindahan kasih yang sederhana tetapi bermakna dan mengajar kita bahawa kebahagiaan kadang-kadang ditemui di tempat yang paling tidak disangka.
© New Straits Times Press (M) Bhd






