Messi buru gol ke-900

Messi buru gol ke-900


Miami: Legenda Argentina, Lionel Messi berpeluang mencipta satu lagi detik bersejarah dalam karier gemilangnya apabila mengetuai Inter Miami CF menentang Charlotte FC dalam aksi Major League Soccer (MLS), esok.

Messi kini memburu jaringan ke-900 dalam kariernya, pencapaian yang hanya pernah diraih seorang lagi legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Selain memburu rekod peribadi, Messi juga mahu membantu Inter Miami meneruskan momentum selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam liga.

Inter Miami yang mengutip enam mata daripada tiga perlawanan (2 menang, 1 kalah) turut mengharapkan kemenangan ketiga berturut-turut, manakala Charlotte pula hadir dengan keyakinan selepas mencatat kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan Austin FC 3-1 minggu lalu.

Bagaimanapun, Messi dan rakan sepasukan gagal menjaringkan gol dalam aksi terbaharu mereka apabila seri tanpa jaringan menentang Nashville SC pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik CONCACAF Champions Cup.

Inter Miami turut berdepan kebimbangan mengenai kecederaan pertahanan, Maxi Falcon yang terpaksa dikeluarkan seawal minit kelima selepas mengalami kecederaan lutut.

Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano berkata, tahap kecederaan pemain itu masih belum dapat dipastikan.

“Kami masih belum tahu tahap kecederaan Maxi dan dia perlu menjalani pemeriksaan lanjut. Harap ia tidak serius, tetapi jika dia terpaksa keluar awal dari perlawanan, pasti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Sementara itu, Charlotte turut memiliki senjata utama menerusi pemain tengah, Pep Biel yang mempamerkan prestasi cemerlang setakat ini.

Pemain Sepanyol itu sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan liga musim ini, termasuk dua gol ketika menewaskan Austin, selain hampir mencipta hatrik sebelum satu jaringan dibatalkan kerana bola terkena tangan.

Charlotte berharap dapat memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dalam siri lima perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri bagi mengutip mata penting dalam saingan awal musim.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top