Miami: Bintang Argentina, Lionel Messi, sah menandatangani lanjutan kontrak bersama Inter Miami yang akan mengekalkannya di kelab Major League Soccer (MLS) itu sehingga penghujung musim 2028.
Perkara itu disahkan MLS menerusi akaun rasmi berbahasa Sepanyol di platform X dengan kenyataan ringkas:
“Rasmi: Leo Messi akan terus menjadi pemain MLS bersama Inter Miami.”
Sumber yang rapat dengan rundingan memberitahu AFP bahawa lanjutan kontrak itu menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemenang lapan kali Ballon d’Or itu, yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Barcelona atau berpindah ke Arab Saudi.
Messi, 38, menyertai Inter Miami pada Julai 2023 dan sejak itu menjadi tonggak kebangkitan kelab milik legenda England, David Beckham, termasuk membantu mereka menjuarai Leagues Cup 2023, trofi pertama dalam sejarah pasukan itu.
Kontrak baharu ini dijangka turut merangkumi peranan jangka panjang untuk Messi dalam pembangunan kelab selepas persaraannya, sejajar dengan pengaruh besar yang dibawanya kepada populariti bola sepak di Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd