Messi titip pesan penuh emosi

Messi titip pesan penuh emosi


New York: Kapten Argentina, Lionel Messi memberikan penghormatan kepada rakan sepasukan serta kejayaan yang dikecapi pasukan itu sejak beberapa tahun lalu menerusi satu hantaran penuh emosi di Instagram, beberapa jam sebelum final Piala Dunia menentang Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman.

“Apa sahaja yang berlaku esok, kumpulan ini sudah pun menulis satu kisah yang tidak akan kami lupakan dan tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa. Ayuh Argentina,” tulis pemain veteran berusia 39 tahun itu bersama sekeping gambar yang memaparkan semua pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan Argentina.

Final Piala Dunia yang berlangsung di East Rutherford, awal pagi esok menyaksikan juara bertahan, Argentina berdepan juara Eropah, Sepanyol.

Pada 2021 dan 2024, generasi pemain Argentina ketika ini turut berjaya menjulang Copa America sebanyak dua kali.

Sebelum itu, Messi tidak pernah memenangi sebarang gelaran bersama skuad kebangsaan selama 16 tahun.

“Perkara terbaik sepanjang tahun-tahun ini bukan hanya mengenai trofi yang dimenangi tetapi keseluruhan perjalanan itu sendiri.

“Berkongsi kehidupan harian bersama kumpulan ini, bersaing bersama-sama, bangkit ketika berdepan saat sukar dan menikmati setiap langkah yang dilalui,” tulis pemenang lapan Ballon d’Or itu.

“Terima kasih kepada setiap rakan sepasukan saya, barisan kejurulatihan dan semua yang bekerja setiap hari untuk memastikan pasukan kebangsaan ini terus menjadi sebuah keluarga,” katanya mengakhiri hantaran terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top