TINDAKAN tegas badan bebas, First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan kepada dua kelab, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC sewajarnya dipuji.
Penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, menyifatkan keputusan yang telah dibuat itu adalah sangat tepat kerana tidak memberi peluang sewenang-wenangnya kepada pasukan yang tidak layak bersaing susulan aspek kewangan yang lemah.
“Saya mendapati keputusan yang telah diumumkan FIB dan MFL untuk tidak memberikan lesen kepada Perak dan Kedah adalah satu keputusan terbaik apabila mereka telah secara rasminya tidak akan beraksi di Liga Super.
“Saya percaya keputusan itu dibuat selepas pertimbangan semasak-masaknya mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan terbukti dua kelab ini gagal untuk memenuhi kriteria.
“Jadi ini menunjukkan bahawa ketegasan pihak FIB dan MFL adalah bagus dan tepat membuat keputusan kerana kedua-dua kelab itu bukan sahaja tidak menghantar dokumen yang lengkap tetapi rekod mereka juga tidak baik apabila gagal melunaskan hutang-hutang lama,” katanya.
Kedua-dua pasukan tersebut gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan apabila permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan Peraturan Perlesenan MFL.
Beliau berkata, Kedah dan Perak perlu menilai semula pasukan dan bangkit dari bawah supaya mampu kembali mewarnai pentas Liga Super pada masa depan.
“Apa yang saya harapkan pasukan Perak dan Kedah boleh bangkit semula dan perlahan-lahan mengorak langkah dengan perancangan lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Sebelum ini, MFL telah mengumumkan 11 kelab Liga Super dan dua pasukan dari Liga A1 yang bertanding pada musim 2024-2025 telah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan, sekali gus melayakkan mereka untuk bersaing dalam pertandingan Liga Super bagi musim 2025-2026.
Lapan kelab Liga Super MFL yang telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh FIB ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.
Tiga kelab pula diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC mengikut artikel 8 (l) MFL CLR.
OR