MFL tak buat keputusan tergesa-gesa

MFL tak buat keputusan tergesa-gesa


PRESIDEN Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan bahawa pelaksanaan kuota maksimum 15 pemain import dalam saingan Liga Super 2025/26 bukanlah satu keputusan tergesa-gesa, sebaliknya hasil perbincangan mendalam bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta berpaksikan keperluan semasa pembangunan bola sepak negara.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan analisis teknikal yang komprehensif merangkumi pelbagai aspek pembangunan sukan dengan matlamat memperkukuh mutu pertandingan dan mempertingkat ekosistem bola sepak tanah air secara menyeluruh.

“Jangan sesekali memperkecilkan kebolehan dan pertimbangan kami di MFL dan FAM.

“Ini bukan keputusan berasaskan kehendak individu, apatah lagi Pemangku Sultan seperti yang didakwa segelintir pihak,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa MFL tidak hanya memberi tumpuan kepada kemasukan pemain import, sebaliknya meletakkan pembangunan pemain tempatan sebagai komponen utama dalam pelan jangka panjang bola sepak negara.

“Kami melihat perkembangan positif yang ditunjukkan pemain tempatan di pentas kelab dan kebangsaan. Ini memberi keyakinan bahawa mereka juga mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Ab Ghani turut menjelaskan bahawa persaingan dalam liga domestik yang semakin sengit sebenarnya membantu membentuk daya tahan dan kualiti pemain tempatan untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita mahu pemain-pemain kita bersedia menghadapi cabaran daripada pasukan seperti Arab Saudi dan Qatar.

“Apabila mereka sudah terbiasa bersaing dengan pemain import berkualiti dalam liga tempatan, itu akan menjadi asas kukuh untuk kejayaan skuad kebangsaan dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.



Source link

OR

Scroll to Top