MFL yakin Liga Super 2025/2026 bebas masalah

MFL yakin Liga Super 2025/2026 bebas masalah


Ab Ghani bercakap pada sidang media selepas mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM pada Jumaat. Foto Bernama

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) yakin saingan Liga Super musim 2025/2026 akan berjalan lancar tanpa isu kewangan susulan pelaksanaan sistem Financial Fair Play (FFP) yang diperketat.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelaksanaan perisian pemantauan kewangan baharu menerusi sistem FFP akan memberi impak besar dalam memastikan hanya pasukan yang benar-benar kukuh dari segi kewangan layak beraksi.

“Kita kawal menerusi FFP. Dulu biasanya enam bulan tetapi sekarang jadi tiga bulan, kita akan kawal selalu.

“… tetapi saya katakan daripada awal tadi, nyatakan berapa bajet anda. Itu penting tapi insya-ALLAH, saya yakin dan percaya boleh, tidak ada masalah (untuk musim 2025/2026),” katanya selepas Mesyuarat Bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan Perjumpaan bersama Kelab Bola Sepak (FC) di Wisma FAM di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemantauan kewangan kini tidak lagi dibuat secara berkala seperti sebelum ini tetapi secara berterusan dan masa nyata melalui sistem FFP yang baru diperkenalkan.

Mengulas mengenai isu pengambilan pemain import sehingga 15 orang dalam satu pasukan yang boleh menjerat kelab ke kancah krisis kewangan, beliau menjelaskan setiap pasukan akan dipantau berdasarkan kemampuan sebenar.

“Kalau hanya mampu ambil lima, ambillah lima. Jangan ikut nafsu. Kita akan nasihat dan kawal. Yang penting, mereka kena isytihar bajet daripada awal dengan jujur. Kita tidak mahu ulang episod sama setiap tahun,” katanya.

MFL sebelum ini memaklumkan mereka akan menyelaraskan jumlah pendaftaran pemain kepada 30 orang bagi semua kelab, termasuk yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Sebelum ini, kelab ACL Elite dan ACL2 dibenarkan mendaftar 34 pemain, manakala kelab lain hanya 32 pemain.

Mesyuarat sama turut bersetuju membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import, dengan kuota sembilan pemain di atas padang (termasuk simpanan) terdiri daripada empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN.

Liga Malaysia kini berwajah baharu dengan pelaksanaan penuh FFP yang mengehadkan perbelanjaan gaji kelab kepada maksimum 80 peratus daripada bajet tahunan mereka bagi musim 2025-2026. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top