SYDNEY: Pesawat Malaysia Airlines MH370 didakwa tersembunyi di di kawasan Broken Ridge, iaitu sebuah plat lautan sedalam 6,000 meter di tenggara Lautan Hindi berdasarkan data kajian dibuat seorang pakar dari Universiti Tasmania, Australia.
Penyelidik Adjung, Vincent Lyne mendakwa jurang dalam di plat bawah laut yang mempunyai gunung berapi itu dipercayai menjadi lokasi ‘persemadian’ MH370 milik Malaysia Airlines hilang pada 8 Mac 2014, sekali gus menyifatkan usaha pencarian dilakukan selama ini dibuat di lokasi yang salah.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan teori bagaimana pesawat yang menuju ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu boleh tersasar ke Broken Ridge yang terletak berhampiran Australia.
“Broken Ridge adalah rabung dengan tebing yang curam dan sempit. Ia dikelilingi oleh lereng besar dan lubang dalam.
“Kawasan itu juga memiliki mendapan halus. Sekiranya benar MH370 terhempas di situ, usaha mengeluarkannya pasti sukar dilakukan,” jelas beliau dalam satu catatan di LinkedIn seperti laporan media United Kingdom (UK), The Independent.
Pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang semasa melintasi ruang udara Vietnam dalam penerbangan ke Beijing, menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.
Analisis data satelit menunjukkan, pesawat kemungkinan terhempas di satu tempat di selatan Lautan Hindi di luar pantai barat Australia namun usaha pencarian yang dijalankan selama bertahun-tahun hanya menemui jalan buntu.
Lyne menambah, Broken Ridge juga dikenali sebagai kawasan perairan berbatu yang bahaya serta kaya dengan spesies laut dalam baharu.
“Saya tidak tahu sama ada usaha pencarian MH370 akan disambung atau tidak. Itu terpulang kepada pihak berkuasa negara terlibat.
“Namun yang pasti, usaha pencarian sebelum ini gagal. Saya pasti sains telah berjaya menyelesaikan misteri kehilangan pesawat itu,” katanya. – AGENSI