May 19, 2024

MIC, MCA perlu berjiwa besar bantu kempen PRK KKB


KUALA LUMPUR – Tidak wajar sekiranya MCA dan MIC mengambil keputusan memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu hanya kerana calon yang bertanding bukan dalam kalangan Barisan Nasional (BN).

Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, tindakan tersebut hanya akan hanya akan menyerlahkan kelemahan kedua-dua parti berkenaan.

Malah menurut beliau, sekiranya Kerajaan Perpaduan memenangi kerusi berkenaan, tindakan boikot hanya akan membuktikan MCA dan MIC tidak lagi relevan.

“Elok MIC dan MCA membatalkan hasrat mereka sebelum menambahkan dan menyerlahkan lagi kelemahan mereka.

“Sekiranya MIC dan MCA memboikot kempen PRK KKB ia peluang berharga yang dilepaskan lebih-lebih lagi jika Kerajaan Perpaduan memenangi PKR ini.

“Ia akan membuktikan MIC dan MCA tidak relevan dan tidak memberi semangat dalam PRK malah menunjukkan tanpa kedua-dua parti itu pun Kerajaan Perpaduan boleh menang, ini bahaya jika mereka memboikot kempen PRK KKB,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sesuai dengan kerjasama yang terjalin dengan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – MCA dan MIC perlu menunjukkan keterbukaan dalam memberi sokongan.

“Sesuai dengan semangat Kerajaan Perpaduan, semangat yang sama ini perlu ada dan MIC dan MCA perlu tunjukkan mereka berjiwa besar bukan berjiwa kerdil.

“Saya lihat MIC dan MCA cuba untuk memboikot kempen ini sebab mereka tidak ada sumbangan yang signifikan dalam Kerajaan Perpaduan disebabkan mereka banyak tewas di kerusi yang ditandingi dan bersaing dengan parti yang menonjolkan calon Cina dan India daripada PH,” tambahnya.

Terdahulu dilaporkan MCA dan MIC mengesahkan tidak akan berkempen pada PRK di Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan bukan daripada BN.

Susulan itu, Anwar yang juga Pengerusi Kerajaan Perpaduan akan mengadakan pertemuan empat mata bersama pemimpin utama MCA dan MIC dalam masa terdekat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menegaskan tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu sebaliknya memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam kerajaan perpaduan iaitu DAP. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top