May 18, 2024

MIC nafi protes calon PH – Thinalan


KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya ada kalangan pemimpin dan ahli MIC tidak berpuas hati dengan keputusan parti itu berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sehingga melancarkan ‘protes’ sama sekali tidak benar.

Ketua Penerangan MIC, Thinalan Rajagopalu berkata, laporan sebuah portal kononnya MIC tidak sepakat sehingga menyebabkan perjalanan kempen terbantut juga tidak berasas sama sekali.

Kata Thinalan, laporan media itu yang hanya menyebut ‘sumber’ tanpa fakta asas itu,  lebih kepada menyebarkan khabar angin dan kekeliruan pada saat-saat akhir kempen.

“Keputusan untuk sokong calon PH dibuat secara kolektif dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kepentingan pengundi-pengundi di KKB khasnya dalam kalangan masyarakat India itu sendiri.

“Presiden dan Timbalan Presiden MIC bersama-sama Jawatankuasa Kerja Pusat dan kepimpinan tertinggi MIC Selangor sepakat untuk berkempen dan memenangkan calon PH.

“Keseluruhan jentera MIC sedang ‘all out’ bagi memastikan kemenangan besar buat calon, Pang Sock Tao dan kita akan buat yang terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah portal melaporkan ada ahli MIC boikot senyap-senyap di KKB dan perjalanan kempen hampir dua minggu ini sebenarnya terjejas terutamanya dalam kalangan akar umbi.

Kata Thinalan, MIC berpegang teguh terhadap komitmennya dengan kerajaan Perpaduan selain prinsip kerjasama dalam kalangan rakan-rakan dalam gabungan itu, dasar itu juga diterima semua ahli dari awal lagi.

“Kita sememangya tidak akan sesekali bertolak ansur dengan anasir-anasir negatif seperti ini yang menyebar fitnah, cuba menimbulkan perpecahan dan kekeliruan. Kita mohon supaya penulis artikel segera tampil mendedahkan siapakah kononnya sumber dalaman parti itu.

“Jika gagal, kita akan ambil tindakan undang-undang selain membawa perkara ini ke pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi  dan Multimedia (MCMC) dalam  segera.

“Bukan kita tidak hormat pada kebebasan media tetapi laporan itu juga perlu adil dan berfakta. Jangan guna isu seperti ini pada saat-saat bagi memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan parti politik. Kemenangan calon PH penting bagi kemakmuran semua di KKB kelak,” ujarnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top