July 27, 2024

Michelle Yeoh terima anugerah Pingat Kebebasan Presiden AS

Michelle Yeoh terima anugerah Pingat Kebebasan Presiden AS



am@hmetro.com.my

Washington: Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menerima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat (AS) iaitu Pingat Kebebasan Presiden daripada Presiden AS, Joe Biden pada majlis rasmi di Rumah Putih di sini, hari ini.

Pingat berkenaan dianugerahkan kepada aktres berusia 61 tahun kelahiran Ipoh, Perak itu atas kejayaan muncul warga Asia pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95, tahun lalu, lapor agensi.

Michelle melakar sejarah apabila diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Oscar menerusi filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO).

Pada majlis penyampaian pingat itu, Biden berkata, Michelle berjaya memecahkan dinding stereotaip lalu mempertingkat dan memperkaya budaya AS.

“Daripada seni bela diri hingga komedi romantis, sains fiksyen, semuanya menunjukkan persamaan yang kita semua miliki. Peranan Yeoh mengatasi jantina, budaya dan bahasa.

“Sebagai warga Asia pertama memenangi Oscar, Yeoh menghubungkan budaya bukan saja untuk menghiburkan, tetapi, memberi inspirasi serta membuka mata ramai hingga kini… Tahniah,” katanya.

Michelle antara penerima pingat itu selain 18 individu lain yang kini menduduki barisan penerima anugerah sivil tertinggi AS.

Untuk rekod, pingat Kebebasan Presiden dianugerahkan kepada orang awam dan anggota tentera yang tidak terhad kepada rakyat AS.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top