REEZAL MERICAN Foto Bernama
PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 melepasi sasaran awal iaitu 2,300 reruai apabila lebih 2,380 gerai telah disahkan dari 45 negara, sekali gus mencerminkan permintaan global yang kukuh untuk peluang perdagangan halal.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hampir semua gerai untuk MIHAS 2025 telah diambil dan rancangan sedang dipertimbangkan untuk menambah lagi kepada 2,400.
Beliau berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dianggap sebagai ‘jiwa’ MIHAS menerusi platform padanan perniagaannya, sekali lagi akan memainkan peranan penting tahun ini.
“Tahun lepas, MIHAS menjana jualan RM4.3 bilion dalam tempoh empat hari. Tahun ini, saya optimis angka itu akan menjadi lebih tinggi terutamanya dengan penyertaan 50 pembeli premium yang jualannya kira-kira RM1.5 trilion,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
MIHAS 2025 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 September depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dijangka menarik lebih 45,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan lebih 2,300 reruai dari 45 negara.
Reezal Merican menekankan bahawa salah satu kekuatan pameran tahun ini ialah penyertaan dari Amerika Selatan khususnya Brazil yang dijangka membuat kehadiran ketara bersama pembeli dari Argentina, Chile dan Uruguay.
Beliau berkata, ia mencerminkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan negara-negara Amerika Selatan termasuk melalui libat urus Malaysia dengan BRICS.
Katanya, produk halal semakin dicari bukan sahaja oleh umat Islam tetapi juga oleh bukan Islam kerana penekanannya terhadap kebersihan, ketulenan, keselamatan dan kemampanan. –Bernama






