Mila Jirin tidak hilang, cuma sedang bertahan

Mila Jirin tidak hilang, cuma sedang bertahan


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tak hilang. Saya cuma sedang bertahan.”

Itu luahan penuh emosi penyanyi Mila Jirin yang mendedahkan kehidupan sebenar dilaluinya selepas popularitinya mula merudum beberapa tahun selepas menjuarai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, mengakui pendapatannya sebagai penyanyi mula jatuh sekitar 2009 sehingga memaksanya melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarga.

Menurutnya, ketika itu dia sudah membawa ibu bapanya berpindah ke Kuala Lumpur dan meminta mereka berhenti kerja sejak 2007, selain perlu menanggung adik-beradik yang masih bersekolah.

“Saya jual kek ‘online’ (dalam talian). Saya buka restoran kecil di Puchong. Waktu itu saya bukan ‘boss’. Saya cuci kedai, cuci tandas, siapkan restoran dan tolong masak di dapur,” katanya menerusi hantaran di TikTok.

Mila turut berkongsi detik paling sukar apabila dia pernah menangis ketika bekerja di dapur restoran sambil melihat rakan seperjuangannya masih aktif menyanyi di televisyen.

“Saya berdiri dekat dapur restoran. Comot, pakai apron, penat. Di TV ada lampu pentas. Di tangan saya ada senduk.

“Saya tengok mereka menyanyi. Saya tengok diri sendiri. Dan saya menangis. Ini bukan hidup yang aku impikan,” katanya.

Menurut Mila, dia juga terpaksa mengorbankan karier seni demi memastikan keluarganya terus hidup dengan memilih menggunakan wang untuk keperluan dapur berbanding menghadiri majlis hiburan.

“Saya terpaksa pilih duit untuk baju, mekap dan ‘event’ (acara) atau duit untuk barang dapur keluarga. Dan saya pilih keluarga,” katanya.

Penyanyi lagu Aku Lebih Tahu itu berkata, dia akhirnya membuat keputusan berhenti menyanyi pada 2013 kerana terlalu penat berdepan tekanan hidup walaupun masih mencintai dunia nyanyian.

Katanya, dia kemudian membangunkan perniagaan katering BIZMILLA bersama sahabat baiknya yang kini bergelar suami.

Bagaimanapun, Mila mengakui perasaan cintanya terhadap dunia nyanyian tidak pernah hilang dan masih berharap diberi peluang untuk kembali berkarya.

“Saya tak minta jadi nombor satu. Saya tak minta jadi famous semula.

“Saya cuma nak rasa sekali lagi orang menyanyi lagu saya bersama-sama,” katanya.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai apabila meraih ribuan tanda suka serta sokongan daripada peminat yang tersentuh dengan kisah pengorbanannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top