LUKA Jovic muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu AC Milan menundukkan musuh setempat, Inter Milan, 3-0 di Stadium San Siro sekaligus mara ke final Piala Itali.
Pertemuan pertama Derbi della Madonnina di Stadium San Siro sebelum ini berakhir dengan keputusan seri 1-1, menjadikan aksi timbal balik ini penentu lebih sengit.
Namun, bekas penyerang Real Madrid itu membuka tirai jaringan sembilan minit sebelum tamat separuh masa pertama, apabila beliau menanduk masuk hantaran silang yang kemas — meletakkan Milan di depan dalam perlawanan dan juga agregat.
Empat minit selepas babak kedua bermula, Jovic sekali lagi menemui sentuhan pemusnah — kali ini menyudahkan bola muntah hasil sepakan penjuru menggandakan kelebihan buat Rossoneri.
Pemain Serbia itu sebelum ini bergelut dengan prestasi dan tidak menjaringkan sebarang gol hingga Mac, namun kini telah menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan terakhir disifatkan satu kebangkitan yang menakjubkan.
Penjaga gol Milan, Mike Maignan, turut memainkan peranan penting apabila melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan tandukan Stefan de Vrij.
Tijjani Reijnders kemudian melengkapkan malam gemilang Milan dengan gol ketiga pada lewat permainan, mengesahkan kemenangan yang bukan sahaja membawa mereka ke pentas final, tetapi juga meniup semula harapan untuk menamatkan musim yang hambar dengan sekurang-kurangnya satu trofi.
Ketika ini, Milan hanya menghuni tangga kesembilan Serie A, telah tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan tampak sukar untuk layak ke edisi musim depan.
Kekalahan ini juga memadamkan peluang Inter untuk memburu treble musim ini kini berada di puncak Serie A dan turut bersaing di separuh akhir Liga Juara-Juara.
Di perlawanan akhir, Milan bakal menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir, pertemuan Bologna menentang Empoli di Renato Dall’Ara, pada Jumaat.
Perlawanan pertama 2 April lalu, menyaksikan Bologna menang, 3-0 di Stadio Carlo Castellani.
OR