Miliki aura tersendirI

Miliki aura tersendirI



georgie@hmetro.com.my

Dalam lambakan artis muda, penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan antara nama yang terus kukuh serta konsisten rencana seninya. Rezekinya tidak pernah lekang dan kelibatnya sentiasa saja jadi sebutan.

Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, seperti ada aura tersendiri untuk kekal relevan. Perwatakannya disenangi selain sentiasa pamerkan kualiti hasil kerja pada tahap terbaik.

Baginya, mutu kerja menjadi senjatanya melakar pencapaian demi pencapaian. Dia mencipta keistimewaan dirinya menerusi inisiatif yang tidak putus dalam meningkatkan prestasi diri.

“Bila ada peluang depan mata, saya selalu titipkan dalam doa. Kalau memang rezeki, cuba sedaya-upaya untuk buat dan jangan fikirkan perkara-perkara pasal popular, nama atau nak kaut banyak tawaran.

“Kadang-kadang saya dengar jugalah pasal orang-orang lain yang berbakat di luar sana ada rasa cemburu. Disebabkan saya boleh berlakon dan boleh buat, ramailah orang kenal.

“Sebenarnya, keistimewaan itu saya pun tak tahu ada dalam diri saya. Hakikatnya, itu hal yang kita kena tanya diri sendiri, apa lagi boleh kita kembangkan. Kalau nak ada kebolehan itu, lakukan inisiatif sendiri,” katanya.

Bagi Afieq, peluang dapat bekerja dengan anak seni pelbagai latar belakang dimanfaatkan sebaiknya. Dia juga sentiasa bersyukur dan menghargai ilmu orang yang digandingkan bersamanya.

Kemasyhuran yang dikecapnya sekarang bukan datang bergolek kerana baginya tuntutan ilmu adalah proses berpanjangan. Sebab itulah juga dia paling suka mendampingi ‘otai-otai’ dalam bidang hiburan.

“Ramai anak-anak muda kadang-kadang tak peka peluang keemasan sebegitu. Saya suka rapatkan diri dengan penyanyi mahupun pelakon legenda sebab saya nakkan sangat ilmu mereka.

“Bila orang cakap pasal peluang, ada saja. Kena manfaatkan. Contohnya bila berada di set penggambaran dengan Fauziah Nawi, kenapa tidak pergi melutut depannya minta ilmu itu.

“Kita sendiri pergi kelas, berjumpa dengan orang, tundukkan diri serendah-rendahnya untuk minta ilmu. Tak dapat buat itu belakang cerita, tetapi paling penting timba ilmu dan kemahiran. Biarlah tak popular pun,” katanya.

Terbaru, Afieq terus melebarkan nama dalam bidang lakon layar apabila membintangi filem sulungnya, Saka Perawan. Lebih istimewa, dia memegang watak utama sebagai Ustaz Danial.

Diarahkan Dr Ahmad Idham, dia terharu mendapat kepercayaan pengarah tersohor itu dipilih sebagai teraju utama. Dia caturkan diri untuk setuju tawaran itu walaupun awalnya ada rasa was-was.

“Sebenarnya saya fikir-fikir dulu sebab banyak persoalan kehendak hero dipilih Ahmad Idham ketika itu yang kena ada pelbagai kebolehan. Memang ada dalam diri saya.

“Cuma satu, iaitu silat yang mana dia nak memang betul-betul tunjukkan seni itu. Saya cakap memang saya ada, cuma tak nak tunjuk kebolehan itu. Tapi bila diperlukan, saya fikir sudah tepat masanya.

“Bila dia cakap nak saya jadi hero, saya tahu amanah itu bukan hal boleh main-main. Saya bincang dengan pengurusan dan terima ikut kerelaan hati kerana ia filem sulung saya,” katanya.

Demi filem itu, Afieq turut mendedikasikan banyak masanya demi mempertajam kemahiran bersilatnya. Dia mahukan kemahiran itu mampu diguna pakai untuk projek-projek lain yang mendatang.

“Saya sertailah kelas silat kerana ada kawan-kawan terdekat yang memang pesilat negara. Saya praktis dan cipta koreografi baru untuk adegan solo saya.

“Saya cari satu taman yang kosong dan berlatih sendirian. Selepas ini, kalau ada tawaran lagi membabitkan silat, sekurangnya saya boleh bawa ke depan,” katanya.

Namun, dia tidak menafikan berdepan tekanan juga apabila dimarah untuk lunaskan tugasan itu. Namun, dia lega kerana rupa-rupanya Ahmad Idham sangat berpuas hati dengan lakonannya.

“Saya buatlah dan cuba. Sebab susah nak puaskan hati semua orang. Tetapi saya sudah bagi sehabis baik dan alhamdulillah hasilnya okay. Menangis itu biasalah bila balik rumah. Adalah saya berkongsi rintihan itu kepada orang tertentu misalnya keluarga.

“Saya jenis bukan kejar nama tapi kualiti hasil kerja paling penting. Ahmad Idham pun berjumpa sendiri cakap bagus. Sebab dia bukan jenis berlembut dengan saya. Bila berlakon di set tak nampak. Cuma selepas disunting, saya terkejut hasilnya bagus,” katanya.

Filem Saka Perawan yang mengangkat genre seram komedi turut dibintangi Azlee Senario, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Sophia Albarakbah, Isyariana, dan Nellisa Nizam.

Filem terbitan Grand Brilliance Studio dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai 27 Jun ini.

Dalam perkembangan karier muzik pula, Afieq sangat terkejut apabila lagunya Rindunya Rindu yang dilancarkan lebih setahun lalu menjadi sohor kini di media sosial.

Ini kerana, awalnya dia sendiri memang merasa was-was terhadap karya berentak 1990-an dan jiwang itu.

“Itu adalah lagu yang paling buat saya berdebar juga. Masa saya nak lancarkan, saya terfikir punahlah karier nyanyian keluar dengan lagu sebegitu berbanding lagu-lagu terdahulu yang semuanya berhasil.

“Tak ‘trending’ pun sebenarnya lagu itu sewaktu baru-baru keluar. Tapi perlahan-lahan tontonannya meningkat dan tiba-tiba berjuta menggunanya di TikTok. Saya rasa seronok sebab keseluruhan lagu itu terlalu biasa.

“Tak sangka lagu itu digunakan sebagai lagu rindu bapa, arwah ibu, dan juga mangsa-mangsa nahas. Itulah kita tak tahu sebenarnya pemahaman orang lain-lain terhadap sesebuah lagu,” katanya yang baru-baru ini lancarkan lagu berentak ‘reggaeton’ berjudul Querida Mi Amor.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top