firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam Jun ini bagaikan tersentak apabila penolong pengendali pasukan kebangsaan, Mark Milligan sah meninggalkan kem negara.
Jodoh singkat Milligan bersama skuad Harimau Malaya yang hanya bertahan selama dua bulan itu dikaitkan dengan tawaran untuk membimbing kelab Liga Australia, Newcastle Jets.
Jelas Milligan, biarpun tempoh perkhidmatannya agak singkat namun beliau akui cukup bertuah dapat bersama dengan skuad negara khususnya ketika pasukan menghadapi aksi pertama menentang Nepal, bulan lalu.
“Diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan profesional seperti ini banyak mengajar saya.
“Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya hanya dapat harapkan dan impikan untuk mencapai dalam perjalanan saya ke hadapan.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain, staf, dan penyokong Malaysia dalam usaha untuk kelayakan Piala Asia 2027 dalam jangka masa terdekat, serta terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya kepada pasukan negara.
“Sungguhpun tempohnya singkat, beliau membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.
“Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usaha beliau pada masa hadapan,” kata Cklamovski.
Untuk rekod, jurulatih berusia 39 tahun itu diumumkan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya selepas beliau meninggalkan Adelaide United.
Milligan adalah sebahagian daripada barisan kejurulatihan baharu menerusi projek revolusi Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Milligan tiba di Malaysia pada pertengahan Februari lalu dan terus membantu Cklamovski mempersiapkan pasukan berdepan Nepal dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 2-0 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.
Selepas ini, Malaysia akan meneruskan misi ke Piala Asia dengan bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd