MIMOS jayakan aspirasi negara berteknologi tinggi menjelang 2030

MIMOS jayakan aspirasi negara berteknologi tinggi menjelang 2030


MIMOS Berhad terus muncul sebagai peneraju utama negara dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi, menjadikan organisasi yang ditubuhkan sejak 1985 itu antara tonggak penting dalam memacu aspirasi Malaysia ke arah status negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Ketua Diplomasi Teknologi MIMOS, Ir Dr Nordin Ramli, FASc, berkata setiap projek yang digerakkan tidak hanya menumpukan kepada penerbitan jurnal atau pameran semata-mata, sebaliknya mesti memberi kesan nyata kepada industri, kerajaan dan rakyat.

“Kami tidak hasilkan R&D hanya untuk akademik. Setiap projek perlu menyelesaikan masalah sebenar di lapangan agar mampu membina daya saing jangka panjang negara,” katanya.

Sejajar dasar utama negara

MIMOS melaksanakan strategi agar setiap inisiatif selari dengan dasar utama negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).

Pendekatan ini memastikan Malaysia kekal di landasan tepat untuk menduduki kelompok 12 negara teratas dari segi daya saing global.

Menurut Nordin, fokus R&D MIMOS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertumpu kepada enam bidang teras iaitu:

  • Unsur nadir bumi
  • Teknologi kuantum
  • Ekonomi angkasa
  • Tenaga bersih termasuk pengurusan sistem nuklear
  • Blockchain dan penyelesaian mengekang ancaman deepfake
  • Elektrik dan elektronik (E&E)

“Bidang-bidang ini dipilih kerana berpotensi tinggi memacu ekonomi pertumbuhan tinggi nilai tinggi (HGHV) dan membolehkan Malaysia menjadi peserta global dalam rantaian bekalan teknologi,” jelasnya.

Perkukuh semikonduktor & kuantum


Ibu pejabat MIMOS, Taman Teknologi Malaysia. – FOTO Fathil Asri

Dalam industri semikonduktor, MIMOS mengoperasikan Pusat Teknologi Semikonduktor (Semi-conductor Technology Centre) dan Pusat Pengujian Kegagalan yang menyediakan kemudahan ujian dan fabrikasi cip, menyokong hampir 500 syarikat tempatan serta multinasional setiap tahun.

“Kita tidak boleh hanya menjadi pusat pengujian semata-mata. Malaysia mesti naik ke tahap lebih bernilai tinggi iaitu mereka bentuk dan memiliki litar bersepadu (IC) sendiri, seperti Intel atau AMD. Inilah cara sebenar kita menambah nilai,” katanya.

Selain itu, MIMOS turut mempercepat pembangunan teknologi kuantum melalui penubuhan Quantum Intelligence Centre, yang menumpukan kepada keselamatan komunikasi pasca-kuantum, pembangunan komputer kuantum untuk industri dan teknologi kuantum sensing bagi aplikasi perubatan generasi baharu.

Nadir bumi, tenaga & angkasa

Malaysia yang memiliki deposit nadir bumi ketiga terbesar dunia, kini berpotensi membangunkan teknologi pemprosesan pintar secara lestari, termasuk pengeluaran magnet berintensiti tinggi untuk industri kenderaan elektrik (EV) dan elektronik pengguna.

MIMOS juga giat membangunkan sistem elektronik untuk aplikasi satelit, komunikasi dan pemantauan data sekali gus membuka ruang kepada pemain tempatan menyertai industri angkasa global yang bernilai tinggi.

Dalam bidang tenaga, MIMOS menumpukan kepada pembangunan sistem pengurusan tenaga bersih serta boleh diperbaharui, yang lebih selamat dan efisien.

Teknologi digital & perlindungan masyarakat

MIMOS turut memperkukuh agenda digital negara melalui pembangunan MyDigital ID, sistem identiti digital kebangsaan, penyelesaian blockchain untuk rantaian bekalan halal, serta teknologi mitigasi deepfake bagi melindungi masyarakat daripada penipuan digital.

Semua inisiatif ini diperkukuh dengan penglibatan industri melalui MIMOS Industry Advocacy Program (MIAP), membabitkan GLC, PKS dan pakar industri sejak peringkat awal pembangunan.

“Apabila pihak berkepentingan terlibat dari awal, keperluan pasaran dapat dipenuhi, sekali gus mempercepat penerimaan teknologi baharu,” kata Nordin.

Pembangunan bakat & inovasi nasional

Selain teknologi, pembangunan bakat turut diberi perhatian melalui MIMOS Academy dan Graduate Attachment Scheme bagi melatih graduan serta penyelidik muda dalam projek R&D berimpak tinggi.

“Kita boleh ada teknologi tercanggih, tetapi tanpa bakat yang bersedia, kita akan ketinggalan,” tegasnya.

Antara inovasi yang pernah dihasilkan termasuk sistem jejak vaksin berasaskan blockchain ketika pandemik COVID-19, sistem kawalan chiller automatik berasaskan AI yang menjimatkan sehingga 20 peratus penggunaan tenaga kilang, serta teknologi Pemantauan Sawit Bersepadu untuk meningkatkan hasil perladangan.

MIMOS Technology Preview (MTP)

Acara tahunan MIMOS Technology Preview (MTP) pula menjadi kemuncak pameran inovasi negara. Pada MTP 2025, lebih 25 projek dan prototaip terkini dipamerkan untuk pelabur, GLC, PKS dan universiti.

MTP 2025 akan diadakan pada Khamis, 2 Oktober 2025, dari jam 8:30 pagi hingga 7 malam di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya.

Dengan tema ‘Power Up Your Business with Market -Ready Tech and Unrivalled Partnership’, acara ini akan memperlihatkan inovasi terkini MIMOS serta peluang bekerjasama strategik bersama kerajaan, industri dan ahli akademi.

Pada masa yang sama, ia juga memberi ruang kepada orang ramai untuk melihat dan mempelajari perjalanan digital Malaysia, serta menimbulkan rasa bangga terhadap pencapaian negara dalam bidang teknologi.

Platform ini bukan sekadar pameran, tetapi medan padanan teknologi yang mempertemukan inovasi dengan rakan industri sehingga membawa kepada pemeteraian MoU serta mempercepat penembusan pasaran.

Antara inovasi berimpak tinggi yang diperkenalkan ialah teknologi bacaan glukosa tanpa jarum, REVA, yang menggunakan optik dan AI dengan ketepatan melebihi piawaian klinikal, dan kini menunggu kelulusan pihak berkuasa untuk dipasarkan.

Aspirasi 2030

Nordin menegaskan, kejayaan MIMOS adalah hasil gabungan dasar, penyelidikan dan kerjasama industri.

“Apabila inovasi sampai kepada rakyat dan golongan sasar, barulah kita boleh kata R&D itu berjaya. MTP membantu mempercepat perjalanan dari makmal ke pasaran dan dari pasaran ke kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut mengakui cabaran wujud termasuk koordinasi dasar serta kebergantungan ke- pada dana kerajaan. Justeru, MIMOS kini melaksanakan transformasi perniagaan dengan menjana pendapatan melalui pengkomersialan teknologi, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Dengan semua inisiatif ini, MIMOS yakin sasaran RMK13 untuk melonjakkan Malaysia sebagai ekonomi berasaskan pengetahuan dapat dicapai. Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab teknologi global,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top