Mimpi gigi tercabut petanda abang pergi selamanya

Mimpi gigi tercabut petanda abang pergi selamanya



am@hmetro.com.my

Muar: “Kira-kira dua minggu saya ada bermimpi aneh, gigi tercabut. Tapi saya tak percaya sehinggalah dimaklumkan pemergian abang,” kata Muhammad Faiq Syahmi Md Tukirin, 18, adik kepada Muhammad Akmal, 25.

Allahyarham Muhammad Akmal antara tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun, Terengganu, semalam.

Menurut Muhammad Faiq, pada mulanya tidak mahu melayan mimpi dialaminya dan menganggap ia hanya mainan tidur.

“Semuanya sudah tertulis saya terima kehilangan abang walaupun sukar terima kenyataan. Cukup berat untuk kami hadapi dugaan ini.

“Saya bertemu abang dua minggu sebelum dia pulang ke kampus memandangkan cuti semester sudah berakhir.

“Arwah anak kedua daripada empat beradik, kami semuanya adik beradik lelaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Parit Baru, Batu, 18, di sini, hari ini.

Pelajar Kolej Matrikulasi Pontian itu berkata, arwah abangnya ceria malah sering bergurau setiap kali berada di rumah.

Katanya, berita pemergian arwah hanya diketahui selepas ayahnya Md Tukirin Saringat, 60, memaklumkan abang sudah tiada.

“Ayah dapat panggilan beritahu abang sudah tiada, kami terkejut seketika seolah-olah tak percaya apa yang didengari.

“Sejurus itu, ayah bersama ibu, Rafeah Buang, 51, serta ahli keluarga terus bergegas ke Terengganu,” katanya.

Dalam kejadian itu, selain Muhammad Akmal, dua lagi rakannya yang juga pelajar UiTM, Khairil Anwar Jamaludin, 20 dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut maut.

Kemalangan itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 ditunggang mangsa dengan sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.

Kereta berkenaan didapati merempuh kedua-dua motosikal yang dalam perjalanan ke universiti dari arah belakang menyebabkan sebuah daripada motosikal berkenaan diseret hampir 60 meter.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top