RAMAI menganggap bahawa bermimpin orang yang sudah meninggal dunia sebagai petanda panjang umur. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
APABILA mimpi bertemu dengan insan tersayang yang sudah tiada, ada yang menganggap bahawa ia sebagai petanda panjang umur.
Tidak kurang juga yang berasa takut atau sedih kerana menganggap ia sebagai alamat buruk.
Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, tanggapan bahawa mimpi orang yang telah meninggal dunia sebagai tanda panjang umur hanyalah satu pandangan daripada orang yang pandai mentafsirkan mimpi dan bukan sesuatu yang wajib diyakini.

USTAZ AZHAR IDRUS
“Betul atau tidak kalau kita mimpi orang yang telah mati, panjang umur? Insya-ALLAH, itu sebahagian daripada pandangan orang yang pandai mentakwil mimpi.
“Tapi ingat, ia bukan kepercayaan atau keyakinan. Ia hanyalah sandaran cakap-cakap sahaja,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.
Bagaimanapun, jelas agamawan itu, tafsiran sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan atau kepercayaan mutlak kerana ia tidak bersumberkan dalil yang jelas.
Jelas beliau, ia sekadar andaian yang dibuat oleh orang yang memiliki kebijaksanaan menafsirkan mimpi sebagaimana kita ‘membaca’ tanda-tanda alam dalam kehidupan seharian.
“Macam kita cakap ‘Petang ni gelap, kalau nak pergi mengail tidak usahlah sebab tengok pada tanda-tanda cuaca, petang nanti akan hujan’.

MIMPI bertemu insan yang telah tiada sebenarnya adalah basyirah iaitu tanda kegembiraan yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“(Andaian seperti itu) boleh diguna pakai sebab laut pun dah gelap. Tapi adakah itu keyakinan seperti keyakinan kita kepada ALLAH? Tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Azhar menjelaskan, mimpi bertemu insan yang telah tiada sebenarnya adalah basyirah iaitu tanda kegembiraan yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA.
“Hakikatnya, manusia yang hidup tidak mungkin lagi bertemu dengan orang yang telah mati.
“Jadi, ALLAH nak suruh kita gembira, ‘temukan’ kita dengan mak kita yang sudah 20 tahun meninggalkan kita sekejap di alam mimpi,” ungkapnya.






