am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Hajat seorang wanita menikmati roti canai sempat ditunaikan suaminya sebelum dia maut bersama anak dalam kemalangan di Kampung Kepah, di sini.
Tun Mohd Khairul Tun Arifin, 39, berkata, isterinya, Nur Saidatul Aishah Zakari, 36, meminta dia membeli roti canai sebelum ke tempat kerja pagi tadi.
Menurutnya, malam tadi ketika dia tidur arwah ada menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan dia teringin hendak menikmati roti canai.
Katanya, kira-kira jam 7 pagi tadi, dia sempat belikan roti canai untuk arwah sebelum bergegas ke tempat kerja.
“Saya tidak pasti sama ada arwah sempat atau tidak makan roti canai yang dibelikan itu kerana saya bergegas ke tempat kerja.
“Saya juga sempat meninggalkan wang di bawah kusyen motosikal untuk arwah gunakan bagi membeli ayam sebagai lauk tengah hari,” katanya
Dia yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkawang berkata, dia tidak menyangka tragedi malang itu menimpa isterinya kerana sebelum kejadian mereka saling berbalas WhatsApp.
Menurutnya, kira-kira jam 11 pagi arwah sempat menghantar mesej bertanyakan hendak masak apa tengah hari nanti.
“Saya minta arwah belikan ayam untuk dibuat sup.
“Selang satu jam selepas itu, saya terkejut apabila seorang rakan datang ke tempat kerja memaklumkan isteri terbabit kemalangan dengan sebuah kereta,” katanya.
Terdahulu media melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal dinaiki dirempuh Perodua Axia dinaiki lima pelajar politeknik di Kilometer 13, Jalan Gaung – Kuala Ping-Teris di Kampung Kepah, dekat sini.
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tengkawang selepas Isyak malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, Nursaidatul Aishah bersama anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina, 12, maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi anak, Tun Nur Ufaira Afifa, 9 cedera parah.
© New Straits Times Press (M) Bhd