Misha terharu, idola Melly Goeslaw

Misha terharu, idola Melly Goeslaw


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Misha Omar, 43, meluahkan rasa terharu apabila penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, 51, menganggapnya sebagai idola dalam bidang nyanyian.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah @Aisah Omar berkata, ia sebagai satu penghargaan dan penghormatan buat dirinya.

“Sebenarnya, saya sangat terharu apabila suara saya didengari oleh orang yang bukan calang-calang dari negara sebarang seperti Melly. Ia adalah satu apresiasi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran single terbaharunya Break sentuhan Melly di sini, hari ini.

Mengenai kehadiran Melly pula, kata Misha, dia juga tidak menyangka kehadiran ratu runut bunyi Indonesia itu pada majlis pelancaran single Break.

“Pada mulanya, saya nampak satu susuk tubuh seperti Melly tetapi saya perlu menumpukan kepada nyanyian kerana guru saya, Datuk Syafinaz Selamat berada di hadapan.

“Alhamdulillah, dia pun menyanyi bersama-sama dan saya sangat gembira,” katanya.

Sementara itu, Melly pula berkata, dia berasa sebak apabila pertama kali bertentang mata dengan Misha pada majlis pelancaran single Break berkenaan.

“Saya adalah peminat filem seram dan sangat meminati Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2. Bagi saya, nyanyian Misha ketika menyampaikan lagu runut bunyi filem itu, sangat menyentuh hati.

“Tidak ramai penyanyi yang boleh menghayati sesebuah lagu itu sekali gus menjadikan sesebuah babak itu hidup dan meninggalkan impak kepada penonton.

“Malah, semasa saya mendengar Misha menyanyikan lagu Pulangkan pada majlis pelancaran single Break tadi, saya turut menangis,” katanya.

Berkongsi kerjasama single Break pula, Melly berkata, ia bermula selepas mereka saling berbalas mesej di media sosial.

“Selepas konsert saya yang pertama di Kuala Lumpur, saya ada hantar mesej kepada Misha dan dia juga ada minta lagu daripada saya.

“Saya berikan dia dua lagu tetapi projek itu tidak dirakamkan serta merta.

“Sehinggalah saya menerima mesej daripada penggubah lagu Break iaitu Tohpati yang bergambar bersama Misha di studio,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top