SKUAD bawah 23 (B-23) negara kini melangkah ke Sukan SEA 2025 di Thailand dengan tekad tinggi untuk membawa pulang pingat emas, ibu segala pingat yang sudah lama dinanti peminat.
Selepas beberapa kekecewaan dalam kejohanan terdahulu, Harimau Muda memulakan persiapan dengan semangat baharu dan keyakinan untuk menampilkan aksi terbaik di temasya dwitahunan itu yang bermula bulan depan.
Pun begitu, pengendali Nafuzi Zain mengakui persiapan pasukan tidak mudah.
Menurutnya, jadual liga yang padat, tempoh latihan yang singkat serta kekangan lain menuntut dedikasi tinggi daripada pemain.
Namun, beliau yakin pengalaman dan disiplin skuad mampu membantu mereka menghadapi cabaran di pentas Sukan SEA.
“Walaupun cabaran banyak, fokus utama kami adalah menampilkan permainan terbaik dan mara ke peringkat separuh akhir, sambil membuka ruang untuk mengejar kejayaan lebih besar,” kata Nafuzi.
Bagi Nafuzi, kegagalan di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 sebelum ini menjadi pengajaran dan motivasi tambahan.
Skuad negara akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Laos pada 7 Disember, diikuti pertembungan dengan Vietnam pada 11 Disember.
Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir.
Rekod terdahulu menyaksikan skuad B-23 terakhir meraih perak pada 2017, manakala emas terakhir adalah pada 2011 di Jakarta, membuktikan betapa berharganya penampilan kali ini.
——————————————————
INFO:
– Semua perlawanan Harimau Muda dijadualkan berlangsung di Stadium Tinsulanon, Songkhla.
– Namun laporan oleh Bangkok Post menyebut bahawa semua acara Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Songkhla akan dipindahkan ke Bangkok.
– Pertukaran itu berikutan banjir serta kebimbangan mengenai keadaan venue di wilayah berkenaan sebaik air surut.
– Sebanyak 10 acara sukan menawarkan 109 pingat emas iaitu tinju, silat, bola sepak, catur, judo, kabaddi, karate, gusti, petanque dan wushu yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Songkhla.
– Berdasarkan perubahan itu, Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini hanya membabitkan di dua lokasi utama iaitu Bangkok dan Chonburi.
Ringkasan AI
- SKUAD B-23 negara berazam bawa pulang pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand
- Harimau Muda hadapi cabaran persiapan akibat jadual liga yang padat dan tempoh latihan singkat
- Nafuzi Zain, pengendali skuad, yakin dengan pengalaman dan disiplin pemain
- Kegagalan di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23 jadi motivasi tambahan
- Sukan SEA 2025 akan berlangsung di Bangkok dan Chonburi setelah dipindahkan dari Songkhla berikutan banjir





