Bilbao: Nico Williams mahu terus mencipta sejarah bersama Athletic Club selepas menolak tawaran untuk meninggalkan kelab Basque itu pada musim panas ini.
Barcelona yang cuba mendapatkan pemain itu setahun lalu, dilapor bersedia membayar klausa pelepasan Nico bernilai €58 juta (RM286 juta).
Namun, pemain antarabangsa Sepanyol itu, yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama Athletic sehingga Jun 2035, berkata: “Saya rasa kami mempunyai musim yang sangat panjang di hadapan. Kami mengidamkan kejuaraan besar seperti Liga Juara-Juara, yang semua orang mahu sertai.
“Apa yang lebih baik daripada melakukannya bersama kelab yang sebati dalam hidup saya? Saya mahu terus mencipta sejarah di San Mamés, bersama penyokong, keluarga dengan penuh semangat.”
Nico yang menjuarai Euro 2024 bersama Sepanyol, kini menjadi antara penyerang paling dikehendaki, dengan Bayern Munich, Arsenal dan Chelsea turut mencuba mendapatkan khidmatnya.
Pengarah bola sepak Athletic, Mikel Gonzalez, sangat gembira dengan keputusan Nico untuk kekal bersama kelab.
“Dia pemain yang unik dan luar biasa, dan mengekalkan bakat ini di Athletic adalah satu berita amat menggembirakan,” kata Gonzalez.
Nico, yang menyertai akademi Athletic ketika berusia 11 tahun akan terus bermain bersama abangnya, pemain antarabangsa Ghana Iñaki Williams, yang akan menjadi kapten pasukan utama musim ini.
“Kami berdua sentiasa impikan detik ini,” kata Nico. “Abang saya contoh teladan buat semua orang, terutamanya untuk saya. Saya rasa dia yang terbaik untuk menjadi kapten, dan saya tak sabar melihatnya memakai lilitan kapten untuk jangka masa lama.”
Gonzalez menambah: “Keluarga sangat penting untuk Athletic, dan kami amat gembira dapat terus melihat Iñaki memimpin pasukan dan Nico menyumbangkan kemahirannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd