Misi FFC x TMTG: Turkiye bantu bebaskan 9 aktivis Malaysia ditahan Israel

Misi FFC x TMTG: Turkiye bantu bebaskan 9 aktivis Malaysia ditahan Israel


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Sepang: Kerajaan Turkiye akan membantu membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang kini ditahan tentera Israel apabila kapal dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang dimaklumkan Menteri Luar Türkiye, Hakan Fidan.

Menurutnya, sembilan rakyat Malaysia itu akan dibawa pulang bersama 28 delegasi dari negara berkenaan ke Istanbul.

“Proses itu sedang dilakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk rekod sukarelawan Malaysia itu terdiri daripada tiga orang doktor perubatan di kapal Conscience, manakala seorang lagi di kapal Umm Saad.

Katanya, objektif misi pelayaran itu bukan sahaja untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan tetapi kapal yang turut membawa doktor dan wartawan dari seluruh dunia itu juga sebagai solidariti kepada gugurnya nyawa para doktor dan wartawan di Gaza.

“Dr Fauziah, Dr Iyli dan Dr Hafiz Sulaiman adalah pasukan perubatan atas kapal Conscience dan seorang lagi Dr Maziah berada di atas kapal Umm Saad.

“Misi pelayaran ini selaras dengan undang-undang antarabangsa di luar bidang kuasa Israel. Justeru, MyCARE menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia untuk mengecam jenayah ini serta menuntut pembebasan semua sukarelawan yang ditahan di samping mendesak supaya sekatan haram dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza dihentikan segera,’ katanya.

Terdahulu, MyCARE memaklumkan sembilan kapal yang membawa aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) terputus hubungan selepas dipintas tentera zionis Israel, pada 10.50 pagi ini.

Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top