firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Risto Vidakovic mengakui pasukannya berdepan kesukaran untuk kekal konsisten kerana jadual yang diharungi ketika ini cukup padat.
Justeru, aksi berdepan Sabah FC di Stadium Likas malam esok bakal menjadi ujian terbesar buat anak didiknya untuk terus memburu tiga mata penuh nanti.
Katanya, kemenangan ke atas lawan penting untuk mengekalkan kedudukan pasukan di kelompok tiga teratas Liga Super ketika ini.
“Pergi ke Sabah dengan hanya beberapa hari persiapan yang saya anggap cukup singkat. Namun, saya percaya pemain dapat pulih sepenuhnya daripada aksi yang sukar sebelum ini.
“Jika kita bermain dengan adanya sasaran, tekanan sudah tentu bertambah tetapi pasukan masih perlu menang.
“Dalam masa sama, bukan mudah untuk beraksi dalam tekanan kerana pemain boleh lakukan kesilapan. Ini perkara normal tetapi apa yang penting pemain perlu berikan tentangan sengit ke atas Sabah nanti,” katanya.
Sementara itu, Vidakovic mengakui pasukannya boleh dianggap mencipta sejarah baharu jika berjaya menamatkan saingan musim ini di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya rasa motivasi kini memihak kepada kami dan pasukan semakin hampir untuk mencipta sejarah. Saya harap pemain terus berjuang hingga ke penghujung,” katanya.
Ketika ini, KL City berada di tangga ketiga dengan 28 mata untuk berada di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd






