lizamridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: Semangat sukan di peringkat akar umbi kembali menyerlah menerusi Kejohanan Mini Thunder 13 2025, yang menghimpunkan 17 pasukan terdiri daripada murid-murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam.
Anjuran Kelab Hoki Thunder 13 dengan sokongan Let’s Play Performance, kejohanan ini menjadi platform penting mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar tahap satu dan dua dan menariknya, pertandingan ini turut disertai oleh alumni serta ibu bapa, menjadikannya acara komuniti yang penuh semangat dan kekitaan.
Presiden Kelab Hoki Thunder 13, Eddy Ridzuan Marzuki berkata penganjuran Mini Thunder 13 tahun ini memberi fokus kepada pembangunan akar umbi dan mengenal pasti bakat muda yang boleh digilap ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahu lahirkan minat dan semangat bersukan sejak kecil dan program ini bukan sahaja untuk mencungkil bakat, tapi juga untuk mengeratkan hubungan antara pelajar, ibu bapa, pihak sekolah serta penaja utama yang sentiasa bersama kami dalam membangunkan sukan hoki di sekolah ini,” katanya ketika kejohanan hari ini.
Tambah beliau, penganjuran tahun ini menjadi titik permulaan kepada satu pelan jangka panjang pembangunan sukan hoki sekolah terbabit.
Melalui pendedahan awal seperti ini, pelajar dapat membina kemahiran asas, keyakinan diri dan semangat berpasukan sebagai nilai penting dalam dunia sukan.
Kejohanan yang menggunakan format 6 dan 3 sebelah selama 6 hingga 10 minit setiap perlawanan (mengikut kategori) ini menjadi edisi pertama dalam bentuk dalaman selepas kejayaan penganjuran Let’s Play Thunder 13 di peringkat kebangsaan tahun lalu.
Dengan penyertaan lebih 80 pelajar berusia antara 7 hingga 12 tahun lelaki dan perempuan, suasana di padang dipenuhi keriuhan dan sokongan ibu bapa yang hadir memberikan dorongan.
Sambutan luar biasa ini juga menunjukkan bahawa minat terhadap hoki di peringkat sekolah rendah masih tinggi dan berpotensi besar untuk dikembangkan.
Melihat sambutan yang menggalakkan, Eddy berkata pihak penganjur yakin program seumpama ini wajar diteruskan pada skala lebih besar.
“Mungkin selepas ini kita akan perluaskan ke peringkat daerah, membabitkan sekolah-sekolah dan kelab sekitar Lembah Klang dan matlamat akhirnya adalah untuk membina laluan yang jelas dari peringkat sekolah ke pasukan pelapis negeri dan kebangsaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd