Arsenal perlu menewaskan PSG di Parc des Princes untuk melangkah ke final UCL buat kali kedua dalam sejarah kelab.
KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard menyeru rakan sepasukannya agar bangkit dan menguatkan semangat menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi ini.
The Gunners berdepan cabaran getir apabila perlu menewaskan PSG di Parc des Princes untuk melangkah ke final buat kali kedua dalam sejarah kelab.
Dalam aksi pertama di Emirates minggu lalu, Arsenal tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Ousmane Dembele, menjadikan misi mereka di Paris bertambah sukar.
Situasi bertambah rumit apabila Arsenal turut dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.
Keputusan itu menjejaskan moral pasukan menjelang perlawanan penting di Paris, namun Odegaard yakin The Gunners masih mampu bangkit
“Kami kecewa tetapi kami perlu bangkit, kuatkan mental dan bersatu hadapi perlawanan besar ini.
“Perlawanan ini sangat penting. Perasaan marah dan kecewa itu boleh digunakan sepenuhnya di Paris.
“Kami tahu apa yang sedang kami perjuangkan. Kami perlu cipta tenaga positif dan bersedia sepenuhnya,” katanya.
PSG hadir dengan reputasi menakutkan selepas menyingkirkan tiga kelab dari England — juara EPL, Liverpool di pusingan 16 terbaik, Aston Villa di suku akhir dan Manchester City di peringkat kumpulan.
Kini, Arsenal berdepan risiko menjadi ‘mangsa’ terbaru pasukan kendalian Luis Enrique itu.
Sehingga kini, Arsenal masih belum pernah merangkul trofi UCL.
Kali terakhir Arsenal menjulang trofi Eropah adalah pada 1994 apabila Alan Smith menjaringkan gol kemenangan dalam final Piala Pemenang Piala menentang Parma.
Era kegemilangan Arsene Wenger menyaksikan pelbagai kejayaan domestik, tetapi di pentas Eropah mereka sering terkandas termasuk kekalahan di final Piala UEFA 2000 menentang Galatasaray, UCL 2006 (Barcelona) dan Liga Europa 2019 (Chelsea).