PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengingatkan barisan pemain negara agar tidak leka dengan kejayaan bergelar Raja Kuadran dan Raja Regu Asia, sebaliknya segera mengalihkan fokus kepada acara regu berpasukan yang dianggap sebagai sasaran utama dalam kempen Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.
Menurut beliau, walaupun skuad negara telah merangkul dua emas menerusi acara regu dan kuadran, perjuangan sebenar belum berakhir kerana misi besar adalah untuk menamatkan kemarau kejuaraan regu berpasukan yang telah berlarutan selama 34 tahun.
“Seperti yang saya nyatakan awal-awal lagi, inilah sasaran utama kita. Walaupun acara lain juga penting, kejayaan dalam regu dan kuadran adalah pembakar semangat terbaik untuk pasukan,” katanya ketika ditemui selepas kejayaan skuad regu negara menumpaskan Thailand di Stadium Titiwangsa pada Khamis malam.
Mengulas peluang bergelar juara dalam acara regu berpasukan, Sumali mengingatkan pemain negara jangan terlalu yakin dan selesa.
“Bila masuk ke final, peluang tetap 50-50. Jadi kita perlu fokus dulu untuk layak ke final, barulah kita atur strategi terbaik, sama ada bertemu Thailand atau pasukan lain.
“Yang penting, kita fokus satu demi satu. Insya-ALLAH, kejayaan lebih besar menanti,” katanya.
Terdahulu, Sumali menyatakan rasa syukur atas kejayaan pasukan negara yang telah pun mara ke tiga daripada empat final yang disasarkan.
“Syukur, Alhamdulillah. Sasaran saya memang empat final dan kini kita sudah dapat tiga. Dua daripadanya kita sudah menang. Ia bukan kerja mudah.
“Apa pun, kejayaan regu kita ini cukup manis. Tapi malam ini saja boleh raikan, esok pagi kita kembali fokus,” katanya sambil mengingatkan pemain agar terus mengekalkan disiplin dan tidak terpengaruh dengan unsur luar Gelanggang.
Malaysia bergelar juara regu di hadapan kira-kira 3,000 penyokong setia yang membanjiri Stadium Titiwangsa.
Pada aksi final, skuad negara tampil penuh semangat dan mempersembahkan aksi bertenaga untuk menundukkan Thailand 2-0 menerusi kemenangan 15-12, 15-9.
Malaysia menurunkan gandingan mantap yang menjadi tunjang kejayaan sebelum ini, Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) manakala Thailand mempertaruhkan Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (perejam) dan Yodsawat Uthaijaronsri (pengumpan).
Kejayaan ini sekali gus mengulangi detik gemilang yang dilakar ketika Piala Dunia 2024, yang turut berlangsung di lokasi sama dan menyaksikan Malaysia menewaskan musuh tradisi itu dengan barisan sama untuk muncul juara.