mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bakal berdepan jadual padat sepanjang Jun apabila dijadual menyertai empat kejohanan berturut-turut dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Jadual padat terbabit jelas sekali memaksa pemain perseorangan itu memerah keringat demi memperbaiki kedudukan rankingnya.
Pemain berusia 28 tahun itu yang kini menghuni ranking ke-63 dunia akan memulakan kempen di Terbuka Australia dari 9 hingga 14 Jun sebelum meneruskan cabaran di Terbuka Macau (16 hingga 21 Jun), Terbuka Amerika Syarikat (23 hingga 28 Jun) dan Terbuka Kanada (30 Jun hingga 5 Julai).
Selepas beberapa bulan bergelut dengan kecederaan dan kehilangan mata ranking, siri empat kejohanan itu dilihat cukup penting buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 berkenaan untuk kembali menghampiri kelompok elit dunia.
Menariknya, laluan Zii Jia kali ini dijangka sedikit lebih lancar apabila dia hanya perlu mengharungi pusingan kelayakan pada Terbuka Australia yang bertaraf Super 500 sebelum beraksi terus dalam undian utama bagi tiga kejohanan Super 300 selepas itu.
Sebagai persediaan menghadapi cabaran berkenaan, Zii Jia sebelum ini memilih untuk tidak menyertai Masters Malaysia minggu lalu bagi memberi fokus sepenuhnya kepada program latihan dan pemulihan.
Penyertaannya pada Terbuka Amerika Syarikat turut mencuri perhatian apabila Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berkongsi kehadiran pemain itu ketika urusan permohonan visa dilakukan pada 19 Mei lalu.
“Kami teruja menyambut kehadiran bintang badminton Malaysia, Lee Zii Jia dan pasukannya di Kedutaan Amerika Syarikat ketika mereka membuat persiapan menghadapi pertandingan di Los Angeles,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial kedutaan berkenaan.
Zii Jia turut menunjukkan perkembangan positif apabila menampilkan aksi meyakinkan pada kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dengan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan.
Prestasi itu membantu Malaysia mara ke suku akhir dan memberi petanda bahawa pemain berkenaan semakin hampir mencapai tahap terbaiknya selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang.
Kali terakhir Zii Jia beraksi dalam Jelajah Dunia adalah pada Terbuka Thailand Mei lalu, namun kempen itu tidak berakhir seperti diharapkan apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
Selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan, dia tewas straight set kepada pemain Israel yang berada di ranking ke-54 dunia, Daniil Dubovenko.
Untuk rekod, kali terakhir Zii Jia mengharungi empat kejohanan berturut-turut adalah pada Januari lalu menerusi Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Masters Thailand menggunakan perlindungan ranking selepas pulih daripada kecederaan buku lali dan belakang.
Pencapaian terbaiknya ketika itu adalah mara ke suku akhir Masters Thailand, namun kecederaan buku lali yang berulang kembali menjejaskan rentak serta proses kebangkitannya di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






