Misi serampang dua mata Messi dan Argentina

Misi serampang dua mata Messi dan Argentina

Misi serampang dua mata Messi dan Argentina


East Rutherford, Amerika Syarikat: Lionel Messi berpeluang menutup tirai karier Piala Dunianya dengan penuh gemilang apabila mengetuai Argentina menentang Sepanyol pada final Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey, awal pagi Isnin ini.

Argentina memburu sejarah untuk muncul pasukan pertama dalam tempoh 64 tahun mempertahankan kejuaraan dunia, manakala Sepanyol mengintai gelaran kedua selepas kali pertama menjulang trofi berprestij itu pada 2010.

Perlawanan yang dijangka disaksikan lebih 80,000 penonton itu turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika edisi terbesar Piala Dunia dalam sejarah mencapai kemuncaknya.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada Messi yang dijangka membuat penampilan terakhir di pentas Piala Dunia, selain berpeluang menjadi pemain kedua dalam sejarah beraksi di tiga final selepas legenda Brazil, Cafu.

Kapten Argentina berusia 39 tahun itu turut berada di landasan memburu Kasut Emas selepas meledak lapan gol sepanjang kempen kali ini, selain berkali-kali muncul penyelamat pasukannya pada saat genting.

Messi membantu Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terakhir sebelum mencipta dua bantuan gol ketika kemenangan 2-1 ke atas England pada aksi separuh akhir.

Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menyifatkan kekuatan sebenar pasukannya terletak pada semangat berpasukan dan keberanian yang tidak pernah luntur.

“Kumpulan ini sukar dijelaskan. Ia menunjukkan semangat berpasukan, persaudaraan dan kesanggupan kami berjuang sehingga ke penghujung.

“Saya mengenali pemain-pemain ini. Mereka tidak takut kepada apa-apa,” kata Scaloni.

Bagaimanapun, cabaran terbesar menanti juara bertahan itu apabila berdepan Sepanyol yang semakin menyerlah sepanjang kejohanan, termasuk menewaskan pilihan utama, Perancis 2-0 pada separuh akhir.

Anak buah Luis de la Fuente mempamerkan corak permainan berasaskan penguasaan bola yang kemas menerusi gandingan Rodri, Fabian Ruiz dan Dani Olmo, manakala benteng pertahanan mereka hanya dibolosi sekali serta mencatat enam perlawanan tanpa bolos dalam tujuh aksi.

Kemenangan tanpa dibolosi pada final akan menyaksikan La Roja mencipta rekod baharu sebagai juara Piala Dunia dengan jumlah bolos paling sedikit dalam sejarah kejohanan.

Tumpuan turut terarah kepada sensasi muda Sepanyol, Lamine Yamal, yang kembali mempamerkan sentuhan terbaiknya selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Pemain sayap Barcelona berusia 19 tahun itu memenangi sepakan penalti ketika menewaskan Perancis pada separuh akhir, selain satu jaringannya dibatalkan akibat ofsaid.

Selain aksi di atas padang, final itu turut menyaksikan pertemuan menarik dua jurulatih yang mempunyai hubungan rapat apabila De la Fuente pernah menjadi mentor Scaloni ketika pengendali Argentina itu mengikuti kursus lesen kejurulatihan profesional pada 2018.

Scaloni mengakui menghormati bekas mentornya itu, namun menegaskan persahabatan mereka akan diketepikan buat sementara demi memburu satu lagi gelaran dunia.

“Dia mentor saya dan mengajar segala yang saya tahu.

“Kini kami bertemu dalam perlawanan akhir. Semua orang tahu saya tinggal di Sepanyol dan mempunyai keluarga di sana.

“Saya benar-benar minta maaf, tetapi Ahad ini (awal pagi Isnin ini) saya akan cuba mengalahkannya,” kata Scaloni.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top