redzuan.muharam@hmetro.com.my
Klang: Menyedari kadar obesiti yang tinggi di negara ini mendorong Muhammad Fariq Mohd Roduan berkongsi ilmu dan pengalaman dengan menjadi jurulatih kecergasan peribadi.
Bermula dengan perkongsian di laman sosial pada awal 2019, Muhammad Fariq, 23, mengumpul pengikut dan mendapat kepercayaan hingga memberinya peluang mengendalikan sesi latihan sebagai jurulatih kecergasan secara bersemuka.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkata, minat membuatkannya terjebak dalam bidang kecergasan sebelum terdorong membantu individu lain selepas melihat hasil positif pada diri sendiri.
Katanya, bimbingan aspek kecergasan bukan sekadar secara bersemuka tetapi juga menerusi perkongsian bersifat praktikal berbekalkan pengalaman sendiri berpandukan ilmu teori sains sukan.
“Saya aktif dalam bidang ini (kecergasan) kerana minat dan bila rasa kepuasan itu yang memberi dorongan berkongsi ilmu dengan orang lain.
“Awalnya kongsi ilmu dengan rakan terdekat kemudian datang keberanian mengajar orang lain dalam talian sebelum secara bersemuka dan alhamdulillah, saya pun dapat sokongan pensyarah.
“Sokongan orang sekeliling dan keinginan membantu mereka yang mahu mendapatkan bimbingan dalam aspek kecergaan memberi semangat untuk saya jadi jurulatih kecergasan sampai ke hari ini.
“Cuma kalau boleh saya tak nak bantu dapat badan cantik saja tetapi beri kesedaran mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat kerana itu lebih baik,” katanya.
Menurut Muhammad Fariq, dia tidak hanya melatih mereka yang berhasrat menyertai pertandingan bina badan saja.
Sebaliknya, Muhammad Fariq terbuka memberi tunjuk ajar kepada sesiapa yang berhasrat mendapatkan fizikal lebih baik dengan harapan usaha itu membantu menurunkan kadar obesiti dalam negara.
“Itu matlamat saya dan apa saya buat bukan untuk menjana pendapatan dan pengalaman semata-mata, tetapi juga peluang meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan orang lain.
“Kepuasan berinteraksi terutama dengan pelanggan dan melihat perjalanan mereka tak mungkin saya dapat jika tidak bergelar jurulatih kecergasan.
“Tanpa berkongsi (ilmu), saya tak tahu ada kebolehan sampaikan ilmu. Justeri apa saya buat sebenarnya latihan untuk diri sendiri.
“Modul latihan sama saya kongsi dengan pelanggan untuk praktikkan dalam rutin kecergasan tapi cara komuninasi penting supaya mereka tak segan khususnya yang baru nak bermula.
Muhammad Fariq berkata, dia belum berasa selesa kerana sedar masih banyak perlu dipelajari untuk memberbaiki diri.
“Jujurnya, saya masih belajar mendalami bidang kecergasan kerana ilmunya sangat luas.
“Saya jadi jurulatih pun kerana yakin belajar sambil mengajar itu lebih baik kerana proses latihan yang saya bawa dan amalkan sentiasa berlaku.
“Saya tidak tahu semuanya dan tiada yang sempurna namun melalui ilmu dan amal saya sentiasa perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd