Misi wajib menang Terengganu FC

Misi wajib menang Terengganu FC


Badrul Afzan (dua, kiri) bersalam dengan Tavares selepas sidang media pada Selasa. Foto: Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) turun dengan misi wajib menang pada perlawanan menentang PSK Makassar FC bagi cabaran Kejohanan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.

Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad Penyu wajib mengutip tiga mata di laman sendiri untuk mara ke peringkat separuh akhir bersama satu pasukan lain dalam Kumpulan A.

Beliau berkata, bagi merealisasikan sasaran itu, pemain perlu berusaha mendapatkan gol awal dan mengelak kesilapan mudah akan menyebabkan pasukan dihukum.

“Kita tidak boleh lagi tercicir mata. Apa pun jadi, kita perlu kutip tiga mata untuk layak ke separuh akhir. Jaringan awal penting sebagai motivasi untuk pemain.

“Selepas perlawanan Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari, saya telah menganalisa kesilapan-kesilapan dan mengingatkan pemain supaya tidak mengulanginya,” katanya pada sidang media praperlawanan Kejohanan Kelab ASEAN di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Dalam pada itu, Badrul Afzan berkata, beliau turut melakukan rombakan kecil terhadap kesebelasan utama termasuk menurunkan Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Azam Azmi Murad yang sudah pulih daripada kecederaan.

“Untuk posisi penjaga gol saya masih belum tentukan. Saya tidak nafikan Rahadi (Muhammad Rahadiazli Rahalim) telah beraksi cemerlang pada perlawanan menentang JDT Jumaat lepas, tetapi saya perlu membuat penilaian terlebih dahulu, memandangkan perlawanan esok adalah berbeza,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PSM Makassar FC, Bernardo Tavares mengakui bakal berdepan tentangan sengit daripada TFC dikenali sebagai antara pasukan terbaik Liga Malaysia.

Oleh itu beliau sentiasa mengingatkan anak buah supaya lebih berwaspada dengan ancaman daripada barisan pemain berkualiti TFC.



Source link

OR

Scroll to Top