SIRI Jelajah China 2025 bakal membuka tirainya pada Ahad ini dengan tumpuan utama skuad hoki remaja negara, The Young Tigers, terarah kepada usaha memperkukuh keserasian dalam pasukan serta meningkatkan pengalaman aksi antarabangsa pemain.
Ketua jurulatih skuad remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menjelaskan bahawa objektif utama siri jelajah kali ini adalah untuk mempertingkat tahap permainan dan keyakinan diri pemain muda ketika beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan luar negara.
“Fokus kami bukan hanya pada kemenangan semata-mata, tetapi kepada pembangunan menyeluruh pemain. Kami mahu mereka menyesuaikan diri dengan suasana dan tekanan perlawanan antarabangsa, memperkukuh daya tahan fizikal serta menanamkan semangat berpasukan yang tinggi,” katanya.
Skuad yang dibawa kali ini merangkumi pemain yang pernah beraksi dalam TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MHJL), pusingan kelayakan Piala Dunia Remaja, serta beberapa bakat muda yang dikenal pasti melalui cadangan jurulatih luar dan pemerhatian teknikal.
Tambah Nor Saiful, perlawanan persahabatan yang diatur menentang kelab profesional dari China, Liaoning Club, bakal menjadi medan penting bagi menguji formasi taktikal serta memantapkan kedua-dua bahagian serangan dan pertahanan pasukan.
“Selain memperkukuh stamina dan mendapatkan minit permainan, pemain juga berpeluang untuk memahami corak permainan antarabangsa — sesuatu yang sukar diperoleh dalam liga domestik. Namun dalam masa sama, aspek keselamatan dan kecergasan tetap menjadi keutamaan bagi mengelakkan kecederaan serius,” jelas beliau lagi.
Tugasan sulung Nor Saiful sejak dilantik sebagai ketua jurulatih adalah merangka pasukan terbaik bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai, India yang dijadualkan berlangsung dari 28 November hingga 10 Disember, selain mempersiapkan pasukan menghadapi edisi seterusnya pada 2027.